Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Khamis, 11 Oktober 2012

Hawa ; Maafkan Aku.


Assalamualaikum wahai Hawaku.
Maafkan aku seandainya coretan ini mengguris hatimu.
Wahai Hawa yang aku kasihi,
Pergiku bukan bermakna aku meninggalkanmu.
Pergiku bermakna aku terlalu mengasihimu.
Hati ini juga tersentuh.
Namun,
Aku tahu dan aku sedar,
Kita perlu mempersiapkan diri.
Maafkan aku kerana pergi tanpa bicara panjang.
Sesungguhnya aku tidak pernah meninggalkanmu.
Tetapi,
Jarak kita perlu dijaga.
Semoga sahaja hati kita terus pada-Nya.
Duhai Hawa,
Usahlah bersedih dan menangis.
Usahlah meratapi pemergianku ini.
Dirimu punya kekasih yang sentiasa setia bersamamu.
Dirimu punya Dia Yang Maha Satu.
Sesungguhnya segala pengharapan dan pergantungan aku juga hanya pada-Nya.
Duhai Hawa,
Maafkanlah diri ini seandainya membuat dirimu kecewa.
Maafkanlah diri ini seandainya membuatmu terluka.
Matlamat kita sama.
Aku dan kamu sama-sama inginkan redha-Nya.
InshaAllah,
Suatu hari,
Jika benar namamu yang tercatat di Luh Mahfuz,
Akan ku jadikan dirimu sebagai permaisuri hidupku.
Namun,
Sebelum waktu itu tiba,
Izinkanlah aku mempersiapkan diriku sebagai Imammu.
Seandainya dirimu bukan tercipta untukku,
Aku redha.
Allah lebih mengetahui segala-gala.
Akan ku doakan dirimu menjadi zaujah dan isteri solehah.
Maafkan aku wahai Hawa.
Yakinlah,
Diri ini tidak pernah meninggalkanmu.
Doaku sering mengiringi setiap langkahmu.
Semoga engkau berjaya dan bahagia.
Jadilah dirimu mawar berduri,
Cantik dipandang,
Namun tidak bisa disentuh.
Jadilah dirimu seperti pesona kristal,
Elok dalam jagaan,
Jauh dari pandangan.
Semoga harapanmu menjadi kenyataan.
Doaku sentiasa beriringan.

Yang Mengasihimu,
Adam

Rabu, 10 Oktober 2012

Ujian Dan Musibah ; Allah Mahu Berkenalan Dengan Hamba-Nya

Setiap manusia, pasti melalui suatu masa yang dikenali dengan MUSIBAH atau masa KESULITAN. Kehidupan seseorang manusia tidak terlepas dari kesusahan, kesulitan, musibah dan sebagainya. Kadang kala, ia menyebabkan seseorang putus-asa dan ada juga yang sampai sanggup untuk membunuh diri dan sebagainya, hasil dari kekecewaan yang menimpa mereka dari kesulitan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan


Namun, jika musibah dan kesulitan ditafsirkan dengan tafsiran yang sempurna, ianya tidak akan membuatkan seseorang putus-asa tetapi sebaliknya ia mampu memberi suatu kekuatan baru kepada seseorang, dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)

            Berdasarkan ayat-ayat tersebut, didapati bahawa, seseorang yang mengaku beriman, pasti akan diuji oleh Allah s.w.t., sehingga terbukti samada seseorang itu benar-benar beriman atau berdusta dalam mengaku beriman.

            Dalam kitab-kitab hadis juga, banyak menukilkan tentang hadis-hadis yang menyebutkan tentang ujian Allah s.w.t. terhadap para hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Golongan yang paling kuat diuji dengan bala adalah golongan para Nabi, kemudian golongan yang mengikuti mereka dan seterusnya".

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…"

Jika kita lihat dalam lipatan sejarah, kita dapati bahawa, Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang paling dikasihi Allah s.w.t. sendiri, diuji dengan pelbagai ujian, termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya. Begitu juga dengan para Nabi yang lain, seperti Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Ayub a.s., dan selain dari mereka.

Persoalannya, apakah rahsia di sebalik ujian-ujian Allah s.w.t. terhadap para kekasih-Nya?

Rahsia Umum di Sebalik Musibah dari Allah s.w.t.

Para sufi dan ahli makrifah telahpun menjelaskan kepada kita, hakikat sebenar di sebalik ujian-ujian dan musibah yang menimpa seseorang muslim.

Secara umumnya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan musibah kepada seseorang kerana tiga sebab, sesuai dengan jenis orang yang ditimpa musibah tersebut.

Pertama: Andainya Allah s.w.t. menimpakan musibah dan bala kepada golongan musuh Allah s.w.t., dan golongan yang bersikap sombong dengan Allah s.w.t., dari kalangan orang-orang kafir dan golongan fasiq, maka ia merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan kepada mereka di dunia lagi.

Kedua: Andainya Allah s.w.t. menurunkan musibah kepada orang-orang mu'min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t., dengan melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan buat mereka supaya mereka kembali kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di hadrat Ilahi s.w.t. dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia merupakan suatu kenikmatan dalam kesulitan.

Ketiga: Andainya Allah s.w.t. memberi musibah kepada golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas di kalangan hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka musibah tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah s.w.t., dengan kesabaran mereka.

Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi

Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu "ta'aruf" atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.

Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:

Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagianya.

Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya dengan sifat-sifat jalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya) di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong.

Dalam kondisi ini, seseorang hamba yang jujur dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..

Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji dengan musibah, perlu redho dengan setiap suratan dan ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah s.w.t..

Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.

Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya.

Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan tersebut, dengan sifat-sifat Jamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut, bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula, hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran merupakan  pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap biadab di hadapan Allah s.w.t.

Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan Allah s.w.t.

Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.

Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t., samada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah s.w.t..

Tags: renungantasawwuf

Ujian Dalam Ujian


Bersabarlah duhai hati. Dugaan yang hebat hanya untuk orang yang hebat. Ulama’ sendiri ada berkata, ‘’ untuk menjadi baik, harus bersedia untuk difitnah dan disabotaj. ‘’ Ya Allah, sesungguhnya hanya redha-Mu yang ku dambakan. Terkadang aku akui Ya Allah, sebagai hamba, aku lemah. Hanya kekuatan-Mu yang ku pinta. Hanya kepada-Mu aku bergantung harap. Tiada yang lain selain dari-Mu. Hanya Engkau Yang Maha Sempurna Ya Allah. Sesungguhnya, aku tahu tiap2 ujian-Mu itu adalah tanda cinta dan kasih-Mu terhadapku. Ujian Allah terhadap hamba2-Nya adalah sama. Yang berbeza Cuma bila dan apa bentuknya. Bersyukurlah wahai diri. Dirimu diuji tatkala peperiksaan semakin hampir. Ujian dalam Ujian. Bertabahalah. Sakit dan disakiti. Itulah namanya kehidupan. Banyak lagi rintangan yang perlu ditempuhi. Sedangkan zaman Rasulullah dahulu, Baginda diuji dengan lebih dahsyat. Dirinya dilempar najis dan batu sehingga berdarah sehinggakan Malaikat Jibril bertanya ‘’ Ya Rasulullah, adakah kamu mahu aku mengangkat gunung-ganang yang ada dan menghempapkannya di atas umat tersebut? Maka jawab Rasulullah, ‘’Tidak, wahai Jibril. Mereka tidak bersalah. ‘’

Subhanallah! Betapa hebat dan mulianya peribadi Rasulullah! Allahurabbi! Seandainya Engkau izinkan, tiupkanlah semangat Rasulku ke dalam jiwaku. Jadikanlah aku seorang serikandi dan mujahidah solehah. Ya Allah, izinkanlah aku untuk berjuang pada jalan-Mu. Jihad menentang nafsu amarahku. Jihad menentang parasit hati yang mengganas dalam jiwaku. Tiada pergantungan lain selain dari-Mu Ya Allah. Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui. Hanya Engkau Yang Maha Mendengar. Hanya Engkau Yang Maha Segala2nya. Semua yang berlaku adalah di bawah aturan-Mu. Aku percaya ada kesudahan yang baik akhirnya. Ya Allah, sebelum waktu itu tiba, aku mohon berikan aku sedikit kekuatan. Kurniakan aku sedikit ketabahan. Jangan biarkan aku kelemasan dalam dunia yang penuh dengan kehinaan. Tetapkan hatiku pada-Mu. Sesungguhnya diriku sendiri tidak redha seandainya aku berpaling dari-Mu Ya Allah! Nauzubillah! Jauhkanlah aku dari perkara2 sebegitu Ya Allah. Didiklah diriku dengan keperibadian Rasulullah. Tabahkanlah hatiku dalam menempuh apa jua ujian cinta-Mu padaku. Sesungguhnya hanya redha-Mu yang ku damba. Izinkanlah aku untuk mencari keredhaan dalam sinar ketaqwaan.

Teman, Aku Mohon.


Assalamualaikum wahai teman yang aku kasihi dunia akhirat. 

Seandainya dirimu membaca tinta dan coretan ini, aku mohon maafkanlah diriku. Aku hanyalah insan biasa yang punya perasaan dan hati. 
Wahai teman yang aku kasihi dunia akhirat.
Di mana silapku? Apa salahku? Mengapa aku difitnah sebegitu rupa?
Apakah dirimu percaya omongan mereka? 
Di mana nilaimu tatkala suaramu memuntahkan kata-kata makian untukku?
Demi Allah, tidak pernah terlintas sedikit pun di benak dan hatiku untuk mengaibkanmu apatah lagi memburukkan dirimu wahai teman.
Demi Allah juga, aku amat mencintaimu dunia akhirat.
Tegarnya dirimu memfitnahku, tegarnya dirimu mengaibkanku, tegarnya dirimu membunuh hatiku.
Hatiku berdarah wahai teman. Lukaku parah dek kata-kata cacianmu terhadapku. Namun, aku bersyukur, tatkala diriku hampir rebah, Allah memaut diriku agar tidak terjatuh lebih parah. Sesungguhnya Dia sentiasa ada untuk hamba2-Nya.


Wahai teman yang aku kasihi dunia akhirat.

Apakah dirimu tidak berasa apa-apa? Mengapa hatimu terlalu keras wahai teman? Tidakkah hatimu berasa sedikit kasihan melihat diriku? Gembirakah hatimu tatkala melihat airmataku waktu itu? Ya! Dirimu telah berjaya wahai teman. Aku tahu aku lemah. Aku memang seorang insan yang tidak berdaya dan berupaya untuk melawan setiap tomahan yang dirimu lemparkan. Biarkanlah. Aku percaya pada takdir-Nya. 


Wahai teman yang aku kasihi. 

Sekali lagi aku mohon maaf. Biarlah, walaupun ku tahu diriku teraniaya dan dianiaya, namun aku takut. Aku takut aku sudah tidak punya kesempatan untuk memohon maaf denganmu. Kapan sahaja malaikat maut akan menjemputku. Sebelum waktu itu tiba, aku ingin meminta maaf. Aku tidak mahu pulang pada Tuhanku dengan roh yang sombong dan bongkak. Biarlah aku mengalah. Biarlah aku yang dipersalahkan. Tidak mengapa. Aku tahu Allah punya sesuatu untukku. Aku tahu Allah sengaja menduga sejauh cintaku terhadap-Nya. Aku tidak akan kalah dek nafsu amarah! Aku tidak akan kecundang dek parasit hati yang mengganas! Tidak sama sekali aku membiarkan syaitan laknatullah merasuk hatiku! Ayuh, datanglah ujian. Aku tidak gentar. Aku tidak takut. Aku punya senjata yang kuat. Aku punya pelindung yang hebat. Ia doaku, Dia Tuhanku Allah Azza Wa Jalla. 


Duhai teman yang aku kasihi,

Aku doakan semoga dirimu sedar suatu hari nanti. Aku doakan semoga hatimu tidak akan dicemari. Aku doakan agar hati KITA tidak akan dicemari. Semoga Allah memberikan yang terbaik. Maafkan aku kerana aku tidak berupaya melawan dirimu. Janganlah sesekali mengharapkan bahawa aku akan membalas setiap tomahanmu. Maaf, aku tidak pandai dalam bertelagah. Allah mengunci mulutku daripada berbicara hal yang mazmumah. Allah menutup pintu hatiku daripada mencalit rasa dendam terhadapmu. Maafkan aku. Dirimu silap memilih lawanmu. 


Jadi, wahai teman. 

Aku mohon, usahlah omong kosong lagi. 
Allah Maha Mengetahui segala2nya. Tidak di dunia, di akhirat pasti ada balasannya. Aku berdoa agar Allah menutup segala keaiban kita di sana. Aku berdoa agar Allah mengampuni dosa2 kita. Aku bukanlah seorang yang warak dalam agama namun, apa yang ku cari hanyalah redha-Nya. 
Terserah dirimu. Katalah apa sahaja. Aku sudah tidak gentar lagi. Allah sentiasa bersamaku. Jalan ini yang ku pilih. Dan ku harap dirimu juga memilih jalan ini. Semoga sama2 dapat hidayah dari-Nya.
Dan semoga saja aku istiqomah kepada-Nya.
Hati itu Allah yang pegang. Hidayah itu Allah yang punya.
Tiada suatu pun yang aku miliki.
Aku telah berusaha.
Selebihnya biarlah Dia yang menentukannya.
Andai itu takdirnya, aku redha.










Tinta Hati,

Hamba Allah Yang Mencari Redha Ilahnya


Selasa, 9 Oktober 2012

Duhai Hati


Mulut sentiasa berbicara tentang cintakan Ilahi, namun hati sibuk mencari cinta pujaan hati. Suara lantang menegakkan kebenaran, namun jiwa ingin merasai nikmat percintaan yang tidak ditabalkan. Munajat mengalir di ruang lidah, namun jasad tak kuat nak bermujahadah. 

Kita bilang sayangkan DIA, tapi hakikatnya, si dia tetap pertama di sanubari kita. 
Kita janji dalam solat yang hidup dan mati kita hanya untuk-NYA tapi usaha kita lebih ke arah mengejar cinta si dia. Kita impikan Syurga namun jalan ke Neraka yang memenuhi langkah kita. 

Adakah kita letakkan DIA hanya di bibir tanpa membuktikannya?? Kerana dia, kita pinggirkan DIA. Adakah DIA berpuas hati?? 

Tepuk dada, tanya iman kita yang masih berbisa …Allah.

By : Kak Malisa Iryani
http://www.epilogseorangan-nisa.blogspot.com

                                                                                  


Isnin, 8 Oktober 2012

Hati dan Hidayah Itu Milik Allah

''Assalamualaikum,kak..sory ganggu..sy nak tanye,camne nak buat bile ade orang xsuke kite, benci kite sedangkan kite xbuat pape pn kat die?Kite xkenal sgt pun die.Tp,die mengata kite macam2.Hati sy sakit sgt kak..Kdg2 tuh sy rasa nak membalas tp sy xde kekuatan tuh..Mcm mane kak?''

Allahuakbar! Sedih diri ini tatkala mendapat mesej daripada seorang adik junior. Allahuakbar, saya tahu persis perasaan itu. Sakit, perit, terluka. Tatkala ini, saya yakin hati kita tidak keruan. Minda kita bercelaru. Bagi orang2 yang sabar dan keyakinannya mutlak kepada Allah, nescaya dia akan memujuk hatinya dengan zikrullah. Tapi, bagi hati2 yang tidak betah dengan ujian-Nya yang sebegini, nescaya dia akan mencemarkan dirinya dengan kata2 yang membinasakan dirinya sendiri. Bersyukurlah bagi hati2 yang masih dapat mengimbangi antara keimanan dan nafsu amarah. Kalian telah berjihad! Mabrook alaik ya akhowat wa ikhwan. Untuk adikku itu, tahniah! Kamu tidak membiarkan syaitan menguasai hati dan jiwamu.


Saudara2ku,

Diri ini bukanlah seorang yang alim apatah lagi warak. Namun, diri ini merupakan seorang hamba yang terlalu banyak dosa dan khilaf. Diri ini berharap moga2 dengan secebis kata2 ini saudara2ku sekalian bisa merenung dan berkongsi rasa yang sama.
Maafkanlah jika ada yang terasa. Mungkin ianya agak lancang bagi yang terasa. Namun, inilah hakikat kehidupan. Apa yang hak tetap harus ditegakkan. Apa yang batil tetap perlu diperangi. Semoga Allah tetap merahmati diri ini, diri kamu dan seluruh umat Islam di dunia ini.


Saudara2ku,

Kita ini muslim. Jadi, untuk apa kita bermusuh dan bermasam muka? Bukankah Allah Azza Wajalla menciptakan kita dari sumber yang sama? Sumber yang hina lagi jijik dan mengotorkan. Kita berasal dari setitik air mani yang hanyir. Jasad kita tercipta dari tanah yang kotor. Untuk apa kita berbangga dan bermusuh? Untuk apa kita mencaci dan menghina insan lain? Manusia itu tetap sama di pandangan Allah Azza Wajalla. Yang membezakan kita hanyalah iman dan taqwa. 
Saudaraku, sungguh diri ini sangat sedih dan kecewa tatkala kita bermusuhan. Allahuakbar. Bagaimana Islam akan menang sedangkan umatnya masih lagi berhasad dengki, sakit menyakiti antara satu sama lain? Di mana pegangan kita? Di mana akidah kita? Apakah kita mahu selamanya bermusuhan dan saling menyakiti? Allahuakbar. Jika begini, moga Allah akan mengampuni dosaku, dosamu dan dosa seluruh umat Islam kerana tidak mengikuti ajaran-Nya. Iya! Saya akui, saya bukanlah seorang insan yang baik dan sempurna. Demi Allah Yang Menguasai Seluruh Alam Semesta, hanya Allah Yang Maha Mengetahui segala2nya. Diri ini penuh khilaf dan dosa. Diri ini masih perlu dibimbing. Diri ini masih mencari redha Ilahi. 
Saudaraku, maafkanlah diriku andai coretan ini mengguris hatimu. Ilhamku dari Allah. Coretan ini merupakan peringatan buat diriku, dirimu dan semua insan. Daku harap coretan ini dapat membuat saudara2ku yang daku kasihi LillahiTa'ala merenung akan kebenarannya. Allahuakbar! Jangan biarkan syaitan durjana memutuskan ikatan ukhuwah antara kita! 


Saudaraku,

Ayuhlah bersatu. Usahlah mencari musuhmu. Dunia ini terlalu kecil. Akhirnya nanti jika dizinkan Tuhan kita akan dipertemukan jua. Jika tidak di dunia, di akhirat pasti Allah akan ketemukan kita. Dan tatkala waktu itu setiap bait bicara dan amalan kita akan disoal dan dihisab. Nauzubillah saudaraku! Sungguh aku tidak tegar dan tidak rela jika diriku dan dirimu dicampak ke neraka hanya dengan kata-kata yang membinasakan diri! Allahuakbar. Demi Allah, jika Allah takdirkan diriku penghuni syurga, ingin ku pimpin semua tangan saudara2ku ke syurga-Nya. 


Saudaraku,

Ayuh bersatu dalam Islam. Mengapa perlu bermusuhan? Tidak cukupkah dengan nyawa2 yang sudah melayang suatu ketika dahulu? Mahu mengulangi lagikah peristiwa Habil dan Qabil suatu ketika dulu?

Rasulullah saw bersabda, "Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya atau membiarkan dianiaya. Dan sesiapa memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa membebaskan kesusahan seorang Muslim maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari kiamat. Dan sesiapa menutupi aib seorang Muslim maka Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat." (HR Bukhari dan Muslim)


Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi dan paling hampir denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling mulia akhlaknya di kalangan kamu. Manakala orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya dariku pada hari kiamat ialah orang yang buruk akhlaknya di kalangan kamu. -Riwayat Ahmad.



Saudaraku,

Diri ini juga tidak sempurna. Ayuhlah saudaraku, kita sama2 memperbaiki diri kerana-Nya. Sesungguhnya kita tidak tahu bila dan di mana kita akan mati. Tetapi, yakinlah mati itu pasti. Tidak terlambat walau satu saat. Jadi, sudah cukupkah amalan kita saudaraku? Yakinkah diri kita bahawa kita akan masuk ke syurga jiwa terus-menerus menyakiti saudara2 kita? Nauzubillahuwallahualam. Semoga diriku dan dirimu berada di bawah rahmat-Nya. 


Saudaraku,

Maafkanlah diri ini andai pernah mengguris hatimu.
Sesungguhnya diri ini sangat lemah dan khilaf.
Namun, daku tahu. Hati kita juga adalah milik-Nya.
Hidayah itu juga milik-Nya.
Daku akan terus berdoa dan berdoa moga diriku dan dirimu sama2 beroleh hidayah dan manfaat dari-Nya.
Usahlah bermusuhan, bersatulah kita dalam redha-Nya.
Kita tetap sama tiada bezanya. 
Kita tetap makhluk ciptaan-Nya yang lemah lagi hina.
Berusahalah untuk mendapat redha-Nya.
Moga Allah merahmati kita semua.
Ameen.


"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17) 






Bagi sesiapa yang pernah lalui detik2 ini, bersyukurlah kamu diuji. Allah sangat2 menyayangi dirimu. Untuk adik tadi, kuatkan hati, tabahkan jiwa. Allah sentiasa bersama dengan kita. Berdoalah. Hanya itu senjata kita.





Sapaan Cinta Ilahi

Tatkala cinta Ilahi menyapa, 
seringkali diri ini tidak mampu menolak-Nya.
Cinta dan kasih yang dihulur oleh-Nya begitu tulus dan suci 
sehingga aku merasakan aku tidak layak untuk cinta-Nya.
Aku terlalu hina untuk cinta-Nya. 
Namun, 
setiap kali aku lari dari cinta-Nya,
setiap kali juga dia menghulurkan cinta-Nya buatku.
Ternyata cinta-Nya tidak perlu ku tagih. 
Dia sering ada menghulurkan cinta-Nya buat hamba2-Nya. 
Ya Allah, 
sungguh tulus kasih-Mu buat hamba2-Mu. 
Ya Allah, 
sungguh tiada kudrat yang lebih hebat dari-Mu. 
Ampunilah hamba2-Mu yang sering melakukan dosa dan khilaf Ya Allah.
Ampunilah hamba2-Mu yang sering lalai dari mengingati-Mu. 
Ya Allah, 
Engkau tautkanlah hati ini kepada-Mu. 
Tutuplah pintu hatiku ini Ya Allah. 
Tutuplah pintu hati ini daripada disentuh 
oleh insan yang tidak halal bagiku. 
Aku mohon. 
Penuhilah hati ini dengan cinta-Mu. 
Jangan cemari hati ini Ya Allah. 
Aku mohon, 
peliharalah hati ini daripada kekecewaan. 
Hanya Engkau yang berhak untuk diri ini Ya Allah. 
Jika masanya sudah tiba, 
Engkau satukanlah kami dalam redha-Mu. 
Satukanlah kami di syurga-Mu.  
Sebelum tiba masa itu, 
izinkanlah kami untuk menjadi hamba cinta-Mu,
sehinggalah Engkau mencabut nyawa kami Ya Allah.
Izinkanlah kami untuk terus mencintai-Mu. 
Izinkanlah kami untuk terus mencari redha-Mu.
Dan,
Izinkanlah kami untuk menghuni syurga-Mu.




Jumaat, 5 Oktober 2012

Ujian Cinta Ilahi

''Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!''
Dia mengulang-ulang zikir itu di dalam hatinya. Airmata yang jatuh berderaian sudah tidak dapat ditahan. Matanya yang selama ini payah sekali untuk mengalirkan airmata kini tumpah jua akhirnya. Airmata yang membasahi pipinya laju menuruni persis air sungai yang mengalir dalam aturan-Nya. Dia menarik nafas dalam, berusaha mengumpul kekuatan. Namun, dia tidak berjaya! Airmatanya makin laju mengalir! Dirinya tersengguk-sengguk. Tersedu-sedan dirinya menahan perasaan dan airmata. Allahuakbar! Lemah sungguh dirinya waktu itu. 


''Ya Tuhanku, ujian apakah ini Ya Allah?????''

Hatinya bermonolog dengan Tuhan-Nya. Sepi. Tiada jawapan yang diterimanya. 
''Ya Tuhanku, jawablah pertanyaanku Ya Allah!!''
Hampir gila dibuatnya tatkala tiada suara yang menjawab persoalannya.
Sepi lagi. Dia menangis lagi. Kali ini lebih kuat. Allahuakbar! Dia benar-benar lemah. Tangisan berlagu duka itu bisa meruntunkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. 
''Ya Allah Ya Tuhanku, aku mohon Ya Allah, tolonglah aku Ya Allah, tolonglah aku. Aku tidak punya sesiapa melainkan-Mu Ya Allah. Allahuakbar, Allahuakbar. Ujian apa lagi kali ini Ya Allah? Ujian apa lagi? Allah, aku lemah Ya Allah, aku lemah. ''
Deraian demi deraian airmatanya membasahi pipinya. Bajunya sudah lecun dek airmata yang membanjiri wajahnya. Dia merenung ke luar jendela. Awan masih lagi menangis membasahi bumi barakah. Makin kuat tangisannya tatkala melihat hujan. Dia merasa seakan alam memahami dirinya tatkala itu.
''Ya Allah, jawablah aku Ya Allah!''
Kali ini dia benar-benar merasakan dia hampir gila dek kebisuan itu! 
''Aaaaaaarrrrrrrrgggggggghhhhhhhh!!!!''
Dia menjerit lantang. Namun, hanya dinding yang menjadi teman setianya. Tiada insan lain waktu itu. Dirinya sudah tidak tertahan lagi. Dia tersungkur jua akhirnya. Dia terduduk, menangis tersedu-sedan. 
''Kenapa aku Ya Allah? Kenapa harus aku?''
Teresak-esak dirinya. Wajahnya menunduk. Dia membiarkan airmatanya jatuh membasahi lantai kamarnya. 
''Aku mohon Ya Allah, jawablah persoalanku Ya Allah.''

Tatkala itu, terdengar sayup-sayup suara sang muazzin melaungkan takbir agung-Nya. 
''Allahuakbar,Allahuakbar.Allahuakbar,Allahuakbar.
Ashaduallailahaillallah,ashaduallailahailallah.
Ashaduannamuhammadanrasulullah,ashaduannamuhammadanrasulullah.
Hayya'alassolah,hayya'alassolah.
Hayya'alalfalah,hayya'alalfalah.
Allahuakbar,allahuakbar.
Lailahaillallah. ''


Allah! Tersentak dirinya dek laungan agung itu. Dia mengangkat wajahnya mencari suara itu. Sayup-sayup kedengaran dalam renyai hujan yang berpanjangan suara muazzin melaungkan ayat Quran. Kali ini dia benar-benar tidak berdaya. Dirinya berpaut pada jendela. 

''Allah, inikah jawapan-Mu?''
Dia cuba menahan sendu. Dia memejamkan kelopak matanya, kembali menarik nafas dalam mengumpul kekuatan. Tiba-tiba qalbun soghirnya berbisik, ''inilah jawapan Tuhanmu..''
Dia membuka matanya. Terkejut dek suara hatinya. Dia menggeleng-geleng menafikan. Bukan itu jawapan yang dia inginkan! Namun, hatinya terus berbisik sehingga dia merasakan suara hatinya bergema bukan hanya dalam hatinya malah di dalam kamarnya! Dirinya cuba bertenang. Dia memasang telinga mendengar kembali bait-bait bicara hatinya. Tapi, tetap jawapan yang sama diperolehnya. Kali ini dia tewas. Mungkin benar kata hatinya. Inilah jawapan kepada persoalannya. Lalu, dia menggagahkan diri menuju ke kamar mandi, mengambil wudhuk, menyucikan diri untuk mengadap Sang Ilahi. 


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Dia memakai telekung solatnya. Air mukanya jernih dek wudhuk yang menghiasi wajahnya. Dia menghamparkan sejadah miliknya. Gambar Ka'bah menggamit dirinya. Dia menahan rasa di hati. Hatinya berdebar-debar untuk mengadap Sang Ilahi.

''Ya Allah, layakkah aku berhadapan dengan-Mu?'' 
Suara hatinya menyepi. Tidak memberikan jawapan yang pasti. Namun, demi tuntutan Ilahi, yang wajib itu tetap wajib. Lafaz Bismillah menghiasi bibirnya. Dia mengangkat TakbiratulIhram, mengagungkan Tuhannya, Allah Azza Wajalla.


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Usai memberi salam, dirinya menangis. Hatinya sudah tidak tertahan lagi. Ya Allah, lemah sungguh dirinya. Dirinya tidak punya kekuatan. Lalu, dia kembali berdiri, segera untuk menunaikan solat sunat taubat dan solat sunat hajat. Berharap agar Allah memberikan dirinya petunjuk dan kekuatan. Tatkala dahinya mencecah hamaparan sejadah, hatinya meruntun hiba. Perasaannya sudah tidak tertahan lagi. Airmatanya membasahi hamparan sejadah. Allah, dia merasakan dirinya begitu dekat dengan Penciptanya. Dia tidak berdaya untuk bangun dari sujudnya kerana dia merasakan dirinya begitu kerdil di hadapan penciptanya. Lama dia sujud, menangisi dirinya. Dia tidak hiraukan kakinya yang sudah mula lenguh dek sujudnya yang lama. Namun, kudrat insan, akhirnya dia bangun dari sujudnya dan menyempurnakan salamnya. Matanya sudah bengkak. Sejadah dan telekung solatnya sudah basah. Namun airmatanya masih lagi tidak kering. Alunan zikir membasahi lidahnya. 

''Lailahailallah, Lailahailallah, Lailahailallah, Lailahailallah..''
Airmatanya makin laju. Dia menadah tangan untuk berdoa. 
Terketar-ketar jari-jemarinya menadah tangan untuk meminta pada Yang Maha Esa.


'' Ya Allah Ya Tuhanku, hanya kepada-Mu aku datang Ya Allah. 

Ya Allah, aku tahu ujian ini tanda Engkau mengasihi aku Ya Allah.
Ampunilah segala dosaku Ya Allah. 
Sesungguhnya aku khilaf.
Ya Allah, ampunilah aku kerana aku telah melampaui batasku 
sebagai hamba-Mu Ya Allah. 
Ampunilah aku kerana aku telah menzalimi diri aku Ya Allah.
Ya Allah Ya Rahman, berikanlah aku kekuatan-Mu Ya Allah.
Sesungguhnya tiada kekuatan lain selain dari-Mu. 
Sungguh Ya Allah, aku lemah. Aku tidak berdaya. 
Namun Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu. 
Tatkala diriku hanyut, Engkau datang menyedarkanku.
Tatkala diriku rebah tersungkur, Engkau datang memautku.
Tatkala diriku lemah, Engkau datang membelaiku.
Ya Muhaimin, sungguh aku tidak dapat lari dari cinta-Mu.
Semakin jauhku dari-Mu, semakin dekat Kau menghampiri daku,
Semakin cuba ku dekati, semakin kuat Kau mendugai aku.
Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu yang kerdil lagi hina.
Sesungguhnya hati ini milik-Mu. Sesunggguhnya jiwa ini milikmu. 
Dan sesungguhnya segala-galanya adalah milik-Mu Ya Allah.
Ya Allah, kali ini aku redha di atas segala ketetapan-Mu Ya Allah.
Aku tidak seharusnya mengeluh Ya Allah, kerana aku tidak berhak.
Aku hanyalah ciptaan-Mu Ya Allah, hanyalah hamba-Mu yang hina.
Ya Rabbi, aku mohon dengan-Mu dengan penuh keampunan Ya Allah.
Aku datang kepada-Mu dengan penuh pengharapan Ya Allah.
Engkau peganglah hati ini kepada-Mu, jangan biarkan ia lalai lagi Ya Allah.
Jangan kotorkannya lagi Ya Allah. Jauhilah aku dari berputus asa dengan-Mu.
Aku mohon, jangan palingkan aku dari-Mu.
Aku mohon Ya Allah, aku mohon, jadikanlah aku hamba-Mu.
Jadikanlah aku sebenar-benar hamba-Mu Ya Allah. 
Tiada yang lain melainkan-Mu Ya Allah.
Hanya kepada-Mu aku bergantung harap.
Dan hanya kepada-Mu aku bersujud.
Kuatkanlah imanku dan hatiku untuk menghadapi setiap ujian-Mu.
Rabbana aatina fiddunya hasanah, wafilakhiroti hasanah, waqina azabannar.
Wassollallahualasayydinamuhammad, wa'ala alihi wasohbihiwassalam,
Walhamdulillahirrobil 'alamin.


Lantas dia kembali sujud dan menangis di atas hamparan sejadah miliknya.

Penghambaan dirinya tertumpah di situ. Sungguh dia tidak punya kekuatan selain kekuatan Cinta Illahnya. Hanya kepada Dia, dia memohon dan meminta segala-galanya. Dia tahu dan dia sedar, dia tidak boleh mengalah. Dia harus menghadapi setiap ujian Tuhan kepadanya. Dia harus kuat menempuhinya. Dia sedar dalam mencari redha dan cinta Ilahi, pelabagai mehnah ujian harus dia hadapi. Dia harus menguatkan diri, jika tidak dia akan tersungkur sebelum menjadi sebenar-benar dai'e. Iya, dia harus kuat untuk menyeru kepada hamba-hamba Ilahi yang masih lagi meraba-raba dalam kegelapan duniawi. Jika dia tidak kuat, bagaimana dia ingin menyeru? Saudara-saudaranya perlu diselamatkan. Tapi, dia juga sedar dia punya kekurangan dan tidak sempurna. Memang dia tidak akan pernah cukup dan sempurna namun sebagai hamba dia tetap bersyukur. Dia bangun dari sujudnya. Dia menggenggam tangan kanannya dan meletakkan tangannya di dada kirinya. 
''Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.''
Dia mengulang-ulang kalimah agung itu. Nafasnya ditarik. Matanya dikatup rapat. Kekuatan Ilahi mula meresap dalam jiwanya. Hatinya kini semakin tenang. Jiwanya semakin kental. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Alis matanya basah dek airmata miliknya. Dia berpaling ke kanan. Di suatu sudut kanan, dia melihat ada sesuatu yang bercahaya di atas mejanya. Lantas dirinya bangun menggapai ''cahaya'' itu. Diciumnya dengan penuh syahdu.
Itulah cahayanya dunia akhirat. Mushaf AlQuran NulKarim.
Dia membuka mushafnya perlahan-lahan. Tangannya terketar-ketar.
Dadanya berdebar-debar. Tatkala kalimah-kalimah Tuhannya menjamah matanya, dia terduduk. Terasa lemah. Dia kembali menangis. 
Ya Allah, sudah lama benar dia tidak membaca mushaf itu!
Sudah berhabuk di dalamnya. Dia beristighfar. 
''Ya Allah, ampunilah aku. Aku ingin menjadi dai'e tapi aku lupa menyentuh kalam-Mu Ya Allah. Aku hamba-Mu yang berdosa Ya Allah, ampunilah aku Ya Allah, ampunilah aku..''
Airmatanya tidak sudah-sudah keluar seakan tidak mahu berhenti. Awan masih lagi menangis. Menangis bersama hamba Tuhan yang sedang mencari redha-Nya. Dia menarik nafasnya lagi. Kali ini dalam sekali. Dia menghembuskan nafasnya perlahan-lahan. Dia merenung kalimah-kalimah agung Tuhan Semesta Alam, Allah Azza Wajalla.
''Berikan aku kekuatan Ya Allah..''
Kali ini dia nekad. Dia akan kuat menghadapi apa jua ujian Allah untuknya. Dia sudah menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Sang Ilah. Dan dia tidak akan sesekali meninggalkan ''cahaya'' nya itu. Allahuakbar, berikanlah petunjuk dan kekuatan!


Dia tahu, dia adalah seorang pendosa; yang tidak terhitung dosa besarnya. Namun dia juga tahu, Allah Maha Pencinta, Maha Pengampun, dan Maha Menerima Taubat hambaNya.

Dan dia terus teguh berpegang pada satu kekuatan. Kalimah Tauhid "La ilaha illallah" Tiada Tuhan Yang di sembah melainkan Allah. Dan akan terus kukuh percaya pada satu kekuatan; "la hawla wa la quwwata illa billah" Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuatanNya.


"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu." 
(Surah Asy- Syura ayat 30)

Dakapan Ilahi

Dia seorang hamba yang lemah. Setiap kali ujian menyapanya, dia tersungkur rebah. Jiwanya luka berdarah. Airmatanya sudah kering menangisi takdir yang direncana untuknya. Suatu saat dahulu, dia menyalahkan Tuhannya atas takdir yang menimpanya. Mengapa dia harus diuji sebegitu hebat? Apa lagi yang tidak kena pada dirinya? Dia sudah ikut perintah Tuhannya, Tuhan kamu, Tuhan mereka dan Tuhan kita! Ujian demi ujian yang menimpa membuat dirinya parah. Dia hampir terkandas. Tetapi, Allah itu Maha Adil, Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Segala-galanya. Dia tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya terus bersedih, berduka dek ujian yang diberikan oleh-Nya. Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hamba-hambaNya melebihi kemampuannya! Lalu, saat dirinya rebah tersungkur, saat jiwanya parah berdarah, saat airmatanya sudah kering menangis dek ujian yang melanda, Allah membelai hati dan jiwanya dengan pujukan kalam cinta-Nya yang satu. Iya, yang satu tiada tandingan, AlQuran NulKarim. Allah memegang hatinya agar bertabah dalam menelusuri kehidupannya. Hidup manusia memang penuh dengan mehnah ujian. Tiada seorang pun yang terlepas darinya. Ujian tanda Allah kasihkan hamba-hambaNya. Tanda Allah sangat-sangat merindui tangisan qalbun hamba-hambaNya. 
Usah menangis wahai saudaraku, setiap ujian yang menimpa pasti ada hikmahnya. Bertabahlah dalam menghadapi ujian. Islam itu indah, Allah itu Ilah, percayalah pada janji-Nya. Sesungguhnya Allah tidak akan pernah mungkir janji. Allah menguji untuk menduga sejauh mana keteguhan iman hamba-hambaNya. Apakah apabila mereka berkata '' aku sudah beriman '' sedangkan mereka tidak diuji? Tidak! Ujian yang hebat hanya untuk orang yang hebat kekuatan imannya terhadap Allah S.W.T! Tiada keraguan pada-Nya! Hatinya mutlak miliknya! Hamba yang hebat sentiasa berlapang dada menerima ujian, walau apa pun bentuk dan caranya, kerna Dia tahu Allah tidak akan sesekali meninggalkannya. Usah berpaling lagi, teruskan perjalananmu mencari redha dan cinta Ilahi. Hanya Dia yang Mengetahui segala isi hati. Tatkala ujian menyapa, berzikirlah di dalam hati, 
'' Lahaulawalaquwwataillabillahilaliyyiladzim .. ''
Sesungguhnya tiada kekuatan melainkan Dia. Berdoa dan terus berdoa bermunajat kepada-Nya. Sesungguhnya Allah itu dekat.