Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Rabu, 9 Januari 2013

Penciptaan JIBRAIL


Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini”.
Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak”. Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”. Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan”.
Sabda Rasulullah, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah“.
Kata Rasulullah lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata Rasulullah.
Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta. Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?
Rujukan: Himpunan kisah-kisah teladan
Dalam surah Ar-Rahman sebanyak 31 kali Allah bertanya kepada manusia dan makhluknya dengan pertanyaan, “Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah yang kamu dustakan?”

Sabtu, 5 Januari 2013

Aku Pendosa Tanpa Noktah.

Aku menyebarkan perkara-perkara islamik juga ilmiah. Itu bukan bererti aku alim apa lagi ustazah. Aku tidak layak. Aku hanyalah hamba-NYA yang masih lagi bertatih melawan hawa nafsuku sendiri dalam mehnah yang penuh resah juga payah. Ya. Mujahadah itu susah kerana syurga itu indah. Berkali-kali aku tersungkur rebah. Berkali-kali juga aku berdarah. Terhumban, berhempas-pulas melawan nafsu amarah juga nafsu yang kian serakah. Aku pendosa tanpa noktah. 

Namun, aku berpegang pada kalimah Lahawlawalaquwwataillabillah, Lailahailallah, La ta'issu min rowhillah.
Hanya kepada DIA aku berserah.
Ku tahu dosaku menggunung tinggi.
Ku tahu dosaku seluas lautan di bumi.
Ku tahu dosaku tidak pernah menyepi.

Tapi,
Ku juga tahu cinta-NYA tidak pernah menyepi dan tidak pernah bertepi.
Cinta-NYA selalu hadir dalam jiwa, hati dan diri ini.
Walau sebesar mana dosaku,
Walau setinggi mana lautan badai ujian menghempas diriku,
DIA sentiasa bersamaku dan tidak pernah meninggalkanku.
Berkali-kali aku istighfar.
Berkali-kali juga aku kalah dek nafsu yang tegar.

Namun, 
DIA masih mencintaiku.
DIA memberi aku peluang untuk terus bernafas dalam jiwa hamba dan memohon keampunan dari-NYA.

Ya Rabbi!
Betapa hebat cinta-Mu Ya Allah!
Hingga cinta lain hanya mampu menunduk dan membisu tatkala cinta-Mu menyapa diri yang berdosa ini!
Sungguh.
Aku lah pendosa tanpa noktah.
Yang seringkali rebah dan tersungkur dek nafsu yang serakah.
Namun,
Aku takkan pernah menyerah!
Akan ku terus bermujahadah hingga aku dapat menggapai Mardhotillah!
Biar apa pun cubaan mendatang,
Akan ku terus perjuangkan demi cinta Al-Rahman.
Selagi maut belum menjemput, 
Selagi itu aku akan terus-terusan mengemis secebis cinta dari-Mu.
Selagi itu juga aku akan terus-terusan memohon keampunan-Mu.
Kerana aku tahu.
Akulah pendosa tanpa noktah itu.

Masihkah Ada Ruang Untukku Meraih Cinta-Mu?




‎''Saya dah bertaubat. Banyak kali saya bertaubat. Menangis siang malam dek teringat dosa saya yang silam. Begitu besar dosa saya lakukan. Tinggi menggunung. Bahkan mungkin sahaja gunung dan laut juga tidak mampu menanggung berat dan besarnya dosa saya. Namun, saya berulang kali juga melakukan dosa yang sama. Macam mana nih kak? Kadangkala saya rasa Allah dah tak pandang saya lagi. Saya malu dengan Allah kak. Saya malu. Kadang-kadang saya rasa Allah pun dah tak mahu terima taubat saya lagi. Saya berdosa kak. Saya takut dengan azab DIA. Tolonglah saya kak..''


Hmmmm. Terkesan. Aku juga begitu. Wahai adik yang dikasihi juga wahai diri insan yang Allah cintai.
Allah itu Maha Penyayang. DIA sangat kasihkan kita. 
Alhamdulillah, perasaan kesal yang ada dalam jiwa bererti masih ada iman dan cahaya soleh atau solehah dalam diri kita. Semoga kita semua selalu dibimbing oleh Allah.

Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).
Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya. 
 Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.
Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.
 Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.
Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.


Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
 Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamu-Mu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).
Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).

Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Istighfarlah selalu kerana sebagai manusia kita memang tidak dapat lari daripada hakikat melakukan dosa. Ya. Kita bukan Nabi. Bukan juga malaikat. Kita tidak maksum. Kita hanyalah hamba-NYA yang lemah dan perlu diingatkan setiap masa dan setiap ketika. Kita adalah pendosa. Pendosa tanpa noktah. Jangan berputus asa wahai hati yang DIA sapa dengan cinta-NYA. Lawan nafsumu. Sentiasa berwaspada dengan bisikan syaitan durjana. Allah sayang kita. Sayang sangat-sangat. Sebesar apa pun dosa kita, setinggi mana pun dosa kita, jika kita terus-terusan meminta ampun dari-NYA, Insya-Allah, DIA akan mengampuni kita. Kuatlah wahai hati. Bermujahadahlah wahai diri. Moga Allah mengampuni setiap kelemahan diri. Sujudlah pada-NYA. Merintihlah pada-NYA. Menangislah pada-NYA. Mengadulah pada-NYA. Suatu masa dirimu akan sedar dan tahu betapa bernilainya airmata keinsafanmu.
La ta'issu min rowhillah. Jangan berputus asa dari rahmat Allah.
Inni akhafullah. Sesungguhnya aku takut kepada Allah.





Jumaat, 4 Januari 2013

Bukan Aku

Mereka sering menganggap diriku SOLEHAH kerana aku sering menyampaikan artikel-artikel dan peringatan islamik juga ilmiah. Mereka tidak tahu betapa aku ingin MERAUNG DAN MENANGIS SEKUAT HATI kerana MUJAHADAH ITU PAYAH! Aku sedang BERTARUNG dengan NAFSU dan DIRIKU sendiri, TAK MUDAH! ALLAH sahaja yang tahu apa yang terbuku dihati. Aku masih berada di dalam LAUTAN KEKURANGAN. Kadangkala aku TERGELINCIR DAN TERHUMBAN kerana jalan hidupku penuh dengan KENIKMATAN. Maafkan aku kerana kadangkala aku KHILAF. Terlupa ke mana arah tujuanku. 
Sebak hati tatkala terbayang bilakah WAKTU TERAKHIRKU?
Di manakah TEMPAT TERAKHIRKU?
Siapakah ORANG YANG TERAKHIR berada denganku?
Dengan CARA APAKAH aku mengakhiri cerita hidupku?

Selasa, 1 Januari 2013

Kahwin Muda. Trend Atau????


Tika datang cahaya dari Cinta segala cinta,

Seluruh jiwa kini hanyalah Khaliqnya,

Berganti rayu pada yang Satu.

Basah bibir meratib asma' yang Esa.

Hati yang tulus rindu yang Qudus,

Inilah cinta yang sebenarnya cinta.

Ku alihkan cinta dari cinta hamba ke Penciptanya.

Rinduku bukanlah pemusnah diri,
Tetapi penemu Cinta Hakiki ♥

Subhanallah. Maha Suci Engkau Ya Allah. Indah berada dalam dakapan cinta-Mu. Cinta yang tiada sempadan, tiada halangan malah cinta inilah yang dicari selama ini. Cinta yang hakiki pada Engkau Yang Satu Ya Ilahi.
Bermula cinta manusia yang memakan diri, kini beralih pada cinta sejati.
Bermula rindu pada dia yang tidak pasti, beralih merindui pada DIA Yang Hakiki.

Pernah suatu ketika ada yang bertanya :
''Tak rindukah pada si dia?''

Diri hanya mampu tersenyum. Rindu? Perlu kah?
Kalau 3 tahun yang lalu, mungkin ya. Masih ada rindu yang bertamu di hati.
Namun, Subhanallah. Biiznillah. Dengan izin-NYA, niatku adalah kerana-NYA.
Ku tinggalkan dia kerana DIA. DIA mengisi segala kekosongan di hati dengan lamaran-NYA.
DIA mencuri hatiku dengan cinta-NYA.
Rinduku pada dia diganti dengan rinduku pada DIA.
Ya. Memang. Waktu mula-mula memutuskan ikatan 'cinta yang tidak halal' itu, seringkali diri ini menangis.
Namun, demi cinta suci-NYA, ku gagahkan jua hati dan jiwa ini.
Bukan cinta manusia yang aku cari. Bukan cinta yang tiada arah tujuannya yang aku damba.
Tapi cinta-NYA. Cinta-NYA yang tidak pernah mengecewakan. Malah mengasyikkan.
Cinta manusia hanya tahu memberi harapan dan menabur janji.
Tapi, pada hakikatnya cinta-NYA lah yang menunaikan segala harapan dan janji itu.
Subhanallah!
Sangat-sangat indah berada dalam lamaran cinta-NYA.
Sungguh!
Bilamana kita meninggalkan perkara yang tidak halal itu hanya kerana-NYA,
Insya-Allah, Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Tak sia-sia jika meninggalkan sesuatu itu kerana-NYA.

Ya.
Aku tahu susah. Sangat susah untuk meninggalkan sesuatu yang sangat-sangat kita sayang.
Memang tak dinafikan. Tapi, yakinlah. Cinta-NYA lebih mengasyikkan.
Pilih.
Mahu meniggalkan dia atau mahu DIA tinggalkan kamu?
Ya. Cinta itu fitrah.
Mencintai Allah dan Rasul-NYA juga fitrah.
Matlamat tidak menghalalkan cara.
Jika benar saling mencintai, alihkan cinta itu di jalan-NYA.
Berkahwin. Itu jalan yang terbaik.
Cinta itu yang halal.
Bukan cinta remaja yang menjadi trend sekarang.
Masih muda?
Kalau sedar diri itu muda mengapa mengambil jalan untuk bercinta?
Kalau kamu belum bersedia untuk berkahwin maka kamu sebenarnya belum bersedia untuk bercinta.
Bukankah cinta itu boleh dikawal?
Sebenarnya itu nafsu atau cinta?
Cinta itu suci.
Jangan sesekali biarkan ia ternoda.
Dulu, langkahku tempang.
Aku tersilap pilih jalan.
Dan aku tidak mahu kembali lagi.
Sakit. Terlalu sakit berada di jalan yang kita sudah sedia maklum banyak rintangannya.
Bukan diriku yang meletakkan hukum 'couple' itu haram.
Tapi Allah. Allah tidak kejam. Bahkan DIA ingin menjagamu wahai Hawa dan Adam.
Sebelum mencari cinta dia, tanya pada iman.
Apakah kamu sudah cukup mencintai DIA?
Jika benar mencintai DIA, apakah amalanmu sudah sempurna?
Manusia tidak sempurna?
Ya. Jika sudah tahu manusia tidak sempurna, 
mengapa tidak memilih jalan untuk mengenali kesempurnaan cinta-NYA terlebih dahulu?
Kalau sudah bersedia untuk berkahwin,
sudah cukup ilmukah?
Solat dan puasa sudah cukupkah?
Aurat dijaga dengan sempurnakah?
Kahwin itu bukan sekadar menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan.
Saat lafaz sakinah itu diungkap, itu bererti kalian sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab.
Ya. Tanggungjawab. Atau mungkin lebih tepat amanah.
Tanpa ilmu, bahtera yang kamu layari sia-sia.
Memang kahwin muda itu boleh buat syaitan menangis.
Namun, jika tiada ilmu tidak guna juga.
Semua harus difikir.
Jika solat pun tidak mampu dijaga bagaimana untuk menjaga 'masjid' suci itu?
Kajian juga menunjukkan salah satu punca terbesar runtuhnya institusi perkahwinan adalah kerana tidak cukup ilmu agama. Terutamanya solat tidak dijaga.
Nauzubillah.
Aku berdoa moga terhindar dari perkara ini.
Cinta dan rindu pada manusia itu sebenarnya boleh dikawal.
Nak atau tidak sahaja sebenarnya.
Jangan jadi majnun kerana cinta manusia.
Sempurnakan amalanmu dahulu baru cari cinta manusia.
Cari ilmu dahulu baru cari cinta manusia.
Cinta DIA dan Rasul-NYA dahulu baru cinta dia.

Jodoh itu sudah ditetapkan. Jaga hati dan dirimu.
Hati kamu hanya ada satu. Jaga hati itu untuk suamimu.
Indah bercinta dengan si dia jika berada dalam redha-NYA.
Mohon kejutkan iman dalam diri.
Kalau rindu dan cinta pada dia,
tak perlu diucapkan.
Cukuplah kamu dan DIA tahu.
Berdoalah pada-NYA.
Doa itu senjata.
Doa itu juga penghubung antara dua hati dan jiwa.
Malah jutaan hati dan jiwa.
DIA sebaik-baik penentu.
Kejarlah ilmu! Maka datanglah cinta!
Yang pasti kita semua akan BERKAHWIN DENGAN KEMATIAN.

p/s : Wuuwuwuwuwuuuwuuu T_T
Memang nak kahwin awal. Siapa tak nak kan?
Tapi banyak kena fikir. Ilmu pun tak cukup.
Cinta Allah dan Rasul pun tak sempurna ada hati nak bercinta.
Heh. Sedarlah wahai diri!
Malu sikit dekat Allah tuh.
Sabarlah wahai diri :')
Cintai DIA dahulu okay! ;D
Mohon jangan ikut jalan jahiliyah saya dulu!

CINTA ITU FITRAH. ILMU ITU AMANAH.
AKU TIDAK MAHU YANG FITRAH JADI FITNAH.
YANG AMANAH JADI SAMPAH.
MENCINTAI ALLAH DAN RASUL-NYA JUGA FITRAH.
DAN ITU JUGA ADALAH AMANAH ALLAH.
INI PRINSIPKU :)






Isnin, 31 Disember 2012

2013-Moga Lebih Mengenali Cinta-NYA


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Beberapa jam lagi, Insya-Allah tahun 2013 akan bermula dan tahun 2012 bakal berakhir. Ya. Memang sama sekali tidak melupakan tahun hijrah. Banyak perkara yang terjadi. Banyak dugaan yang telah dilalui. Sakit. Perit. Pedih. Rebah. Tersungkur. Berdarah. Luka. Macam-macam mehnah yang dilalui demi menguji keimanan dan ketaqwaan kepada-NYA. Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah, DIA telah memberikan kekuatan walaupun diri hampir terjunam. DIA memaut diriku dari terus terjatuh dan tersungkur dalam kehinaan. Paling sukar, apabila diri difitnah. Allahurabbi. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui. DIA yang menduga, DIA juga yang memberi kekuatan. 


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." 

[Surah Al-Baqarah, 2: 286]


Allah tahu kita kuat. Dugaan demi dugaan membuat diriku lebih dekat pada-NYA. Sekarang, aku mula kenal akan hakikat Pencipta. Sekarang, aku mula tahu bagaimana untuk terus bernafas dalam jiwa hamba. 

Memang sepatutnya azam tidak perlu waktu yang khusus. Namun, lumrah manusia. Ia juga sebagai peringatan bahawa kita semakin hari semakin tua dan kematian semakin menghampiri kita. Jadi, apa azam kita?

Pilih. Itu hak kamu. Dan semoga pilihan kamu itu membawa kamu ke jalan-NYA.

Ini hanya panduan.
Insya-Allah. Boleh kita sama-sama lakukan.
Yang penting istiqomah. Yang penting kualiti bukan kuantiti.
Tajdid niat sentiasa ya! (^_^)


Semuanya wajib berpaksikan hanya kerana-NYA.

Allah itu ada untuk membantu kita, cuma kita yang jarang mendekati-Nya.
Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,
"Allah Azzawajalla berfirman dalam Hadis Qudsi: "Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku dan Aku akan selalu bersertanya selama ia mengingat pada-Ku. Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hamba-Nya daripada seseorang di antara engkau semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas. Barangsiapa yang mendekat pada-Ku dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sehasta dan barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sehasta, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan bergegas-gegas."

[Muttafaq 'alaih]


Jumaat, 28 Disember 2012

Aku Ingin Berubah - Usah Hanya Pandai Menutur Cinta


By: Rabiatul Fatimah Azzahra bt Rashid
- Kakak kesayangan saya-
Uhibbukifillah.
http://www.syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/2011/06/aku-ingin-berubah-usah-hanya-pandai.html

Aku cinta Allah. Aku cinta Rasulullah.
Semudah itu menutur bicara manis.
Apakah kata-kata itu diiringi muhasabah terhadap amalan?

Dilihat di sana sini. Di blog mahupun Facebook.
Menggunakan username atau nickname.
Akulah Pendekar Islam. Akulah Mujahiduddeen.
Aku  Laksamana Syahid. Aku Khalifah di Bumi Allah.
Lagi?

Akulah Muslimah Sejati. Akulah Mawar Mujahidah.
Akulah Perindu Syurga Abadi. Akulah Pendamba Kasih Ilahi.
Akhir sekali, akulah Syauqatul Wardah. Mawar Berduri. Baik, mengutuk diri sendiri.
Maaf, nama di atas adalah yang terlintas di fikiran. Jika sama, itu adalah kebetulan.

Rimas. Lemas. Benci dengan diri sendiri. Menangis.
Cakap memang senang. Tulis memang mudah. Amalan bagaimana?

Benci. Hanya pandai menulis entri berjela-jela. Kononnya baik sangat aku ini.
Amalan entah bagaimana. Ah, lagi. Lemas! Lemas dalam kata-kata sendiri yang mengajak ke arah kebaikan. Hanya mampu menangis. Lemah. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Rebah.

Harus bangkit. Bangkit bersama bicara manis di bibir.
Mesti bertindak. Bertindak bersama jemari yang gah menaip perkataan.
Aku malu. Aku malu dengan-Mu ya Allah! Ighfir dzunuubee…

Sampai bila amalan di takuk lama?
Kematian itu semakin dekat menghampiri.
Mengancam waktu-waktu kehidupan yang tersisa.
Dapatkah diri merasa? Teruk. Sungguh diri ini malu.

Ada yang berkongsi mengatakan apabila berada di rumah, diri semakin lalai. Sewaktu di universiti, adalah juga program keagamaan yang diadakan untuk pengisian rohani. Ada juga ajakan ke majlis ilmu dan ceramah yang dijalankan persatuan tertentu. Dan juga sahabat-sahabat sekeliling yang sentiasa memberi peringatan andai diri terleka. Andai diri jauh mengelamun. Berangan perkara yang sia-sia.

Tetapi terasa semakin jauh dan sepi daripada-Nya kerana sendirian di rumah. Tiada lagi program atau ceramah yang memberi nafas segar terhadap iman yang ada kala naik dan ada kala menurun. Tiada lagi sahabat yang bisa mengetuk jiwa yang lagho. Kerana masing-masing berada di kejauhan.

Apakah puncanya? Mahu selesaikan masalah perlulah melihat dahulu kepada akar punca. Saya cuba meneropong.

Pertama, berkaitan masa. Masa yang ada dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mungkin menonton televisyen sambil bergelak ketawa. Menghabiskan masa di hadapan laptop menonton cerita Korea? Atau terlalu lama menghabiskan masa melayari internet yang kebanyakannya lebih kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sehingga mengabaikan waktu solat? Bacaan dalam solat laju mengalahkan pembaca berita. Juga didirikan pada sisa-sisa waktu. Mungkin kerana ini jiwa terasa kosong. Hari-hari berlalu tanpa ada sebarang perubahan. Lalai.

Tidak salah sesekali mahu memberi hiburan atau ingin merehatkan minda. Tetapi usah seharian dihabiskan hanya untuk perkara begitu. Sehingga tiada masa untuk muhasabah diri. Monolog sepi memikirkan akhirat. Juga sehingga tiada masa memikirkan dunia. Berfikir apa yang ada dengan dunia yang dapat memberi manfaat dan pemberat pada neraca kelak. Berfikir bagaimana mahu menggunakan dunia untuk mendamba keredaan-Nya.
Sungguh, masa itu sering kali dilupakan manusia. Juga sewaktu tubuh cergas dan minda cerdas. Rasulullah telah berpesan, nikmat yang sering dilupakan adalah nikmat kesihatan (assihhah) dan masa lapang (al-faraagh). Seharusnya tersemat dalam hati. Setiap saat itu adalah ibadah.

Mudah tetapi payah. Mudah sahaja sambil berbaring memikirkan kejadian alam ciptaan Allah. Atau juga berfikir hikmah kejadian yang berlaku pada hari yang dijalani. Tetapi payah kerana tidur itu lebih menyenangkan hati. Tidak perlu berfikir banyak. Hanya perlu makan dan tidur. Mudah sahaja sambil berjalan atau melakukan sesuatu, basahkan lidah dengan zikir-zikir. Ataupun selawat. Tetapi payah kerana siulan lagu itu lebih memberi hiburan. Uh, diri hanya pandai bercakap. Mengutuk diri sendiri.


A001
Demi Masa! ( Al-'Asr 103:1 )

A002
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - ( Al-'Asr 103:2 )


A003
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. ( Al-'Asr 103:3 )


 Surah Al-'Asr. Semat ini dalam hati. Bukan sekadar baca. Hayati bersama.

Kedua. Puncanya. Tidak ingat mati. Mereka yang berfikir akan kematian, akan mengalirlah air mata keinsafan. Kerana menyedari betapa hidup ini singkat. Tiada masa untuk berehat. Jalani kehidupan dengan minda sering berfikir tentang ibadah. Bukan hanya memikirkan luluskah peperiksaan atau berjayakah menggapai 4flat. Tetapi juga berfikir bagaimana sewaktu melintasi titian sirat, luluskah? Bukan hanya memikirkan ingin menatap result yang tinggi setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Tetapi juga berfikir apakah amalan di dunia mampu membantu melepasi titian sirat seterusnya ke syurga?

Ketahuilah, setiap apa di dunia ini akan diperhitungkan kembali di akhirat. Akan dihisab kembali. Ustaz Pahrol Mohd Juoi memberi bicara tazkirah. Yang haram diazab, yang halal dihisab. Terkesan di hati saya. Tiada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah. Amalan akan diperhitungkan satu-satu dengan seketat-ketatnya.

Ada kata yang mengatakan. Manusia yang bijak adalah manusia yang merancang untuk mati.
Saat ini hati ingin benar menangis. Mengapa begitu lalai? Mengapa begitu seronok dengan dunia? Pejamlah mata wahai hamba. Ingatilah detik-detik kehidupan yang telah berlalu. Lihatlah yang telah kembali kepada Yang Menciptakan. Tidak terfikirkah bila pula giliran kita? Yang sewaktu ini begitu asyik dengan dunia?

Terlalu seronok mengumpul dosa. Peringatan yang diberi bagai mencurah air ke daun keladi. Masuk telingan kanan. Keluar telinga kiri. Kerana lalainya hati mengingati sebuah kematian. Lalainya hati daripada memikirkan amalan. Yang bisa menolong bermula alam barzakh. Neraca timbangan. Juga untuk melepasi titian siratul mustaqim.

Entah sampai bila harus begini. Kematian itu tidak mengenal usia. Tidak mengenal waktu. Bukankah sering kita melihat?  Yang dijangkakan pergi yang sakit, tetapi yang sihat terlebih dahulu dijemput Ilahi. Bukankah ini yang tertanam di fikiran? Yang tua mungkin pergi dahulu. Sedangkan tiada jaminan yang muda ini bakal hidup lagi pada hari esok.

Menangislah. Semat ini dalam hati.


A007
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! ( Az-Zalzalah 99:7 )


A008
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-Zalzalah 99:8 )

Setiap orang inginkan perubahan. Yang pastinya mahukan kebaikan ke arah yang lebih baik. Saya tidak pasti apakah ada juga manusia yang merancang untuk menjadikan dirinya lebih teruk berbanding hari semalam.


Pernah saya sentuh di sini.(http://syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/2011/04/berubah-mimpi-atau-realiti.html )  Dengan bahasa sinis dan mungkin sedikit kasar.
Mahu melakukan perubahan. Kemahuan itu semestinya perlu ada. Itulah penolak pertama. Seterusnya keazaman yang tinggi. Niat hanya kerana Allah. Ini teramat penting. Kemudian tindakan. Saya kira ramai yang rebah saat tiba di peringkat ketiga. Saya mengutuk diri sendiri.

Keinginan. Keazaman. Tindakan.
Jika ingin berubah, semat dahulu ini dalam hati.
Mari melakukan perubahan!

Mari bersama-sama saya. Jika benar cintakan Allah dan Rasulullah, segeralah ambil sehelai kertas. Atau buku catatan yang biasa digunakan. Kita harus kuat sendiri bukan hanya menunggu ditegur dan diperingatkan selalu. Mesti! Mesti mengamalkan terus-menerus tarbiyah kendiri. Jika anda hanya membaca, mungkin kesannya sementara atau mungkin juga tiada. Bertindaklah sekarang! Ambil walau sehelai kertas. Dan tulis ini. Jika anda benar mengambil, saya yakin anda benar seorang yang benar-benar mahu melakukan perubahan. Bukan hanya pandai bermain bicara.


To-Do-List. How to achieve mardhotillah.


1)  Tilawah (4 helai sehari )
2)  Qiam (1 kali seminggu )
3)  Solat Sunat Rawatib (3 kali sehari – mana-mana waktu)
4)  Puasa ( 1 hari seminggu – pilih Isnin atau Khamis)
5)  Ma’thurat (2 kali sehari – selepas solat Subuh dan Asar)
6)  Baca Surah Al-Mulk sebelum tidur.

Tidak semestinya melakukan semua. Pilih satu sudah cukup. Melainkan anda betul-betul mempunyai keinginan yang kuat ingin berubah dan melakukan kebaikan. Sudah semestinya lagi bagus. Jika tidak mampu, pilih satu dahulu. Atau dua. Atau mengambil separuh-separuh setiap daripada itu. Mengikut kemampuan. Dan seterusnya membuat jadual sendiri. Tandakan jika berjaya melakukan mana-mana amal. Bisa kendiri bukan? Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Mungkin bermula tilawah 2 helai sehari? Qiam satu kali sebulan? Solat sunat rawatib, memilih solat 2 rakaat selepas Solat Isyak? Puasa satu kali sebulan? Ma’thurat hanya dibaca selepas Subuh? Al-Mulk jika benar malas, pasanglah di laptop atau handphone dan dengar serta hayati.

Sungguh, sekarang saya rasa terlalu hina. Terlalu jauh daripada-Nya. Terlalu amat jauh syurga itu!

Add to the list.


1)  Mengambil bahan bacaan yang bermanfaat setiap hari. Walau sehelai kertas tazkirah jika tidak majalah seperti SOLUSI. Baca secara perlahan-lahan. Merenung. Hayati. Dan rasakan dengan hati.

2)  Sentiasa cuba berusaha menghadiri majlis ilmu yang diadakan.

3)  Bergaul dengan sahabat yang soleh dan solehah.

4)  Zikir qauli setiap kali selepas solat. Boleh juga sewaktu berjalan, duduk, baring. Juga sewaktu melakukan kerja.

Contoh: 
Istighfar (Astaghfirullah) 10kali. Subhanallah 10kali. Alhamdulillah 10kali. Allahuakbar 10 kali. Lailahaillallah 10kali. Selawat 10kali. Boleh tambah lagi. Jika mampu, lakukan semua. Jika tidak, pilih satu dan istiqamah. Kreatif dalam bercinta. Mungkin memilih mana-mana selepas selesai solat. Atau ketika sedang melakukan satu-satu pekerjaan.

Saya tambah lagi. Mungkin boleh download Selawat Syifa. 
Anda punya laptop dan telefon bimbit bukan? Manfaatkan sebaiknya.

5)  Jaga waktu. Usah terlalu membiarkan diri terleka. Berfikir yang sia-sia. Yang tiada manfaat buat akhirat.

6)  Sentiasa muhasabah diri. Sentiasa berusaha melakukan ibadah secara bersungguh-sungguh. Ihsan. Jika melakukan ibadah, rasailah seperti kita melihat Allah. Tetapi jika tidak, rasalah, sesungguhnya Dia Maha Melihat.

Yang penting, ada usaha walau sedikit. Dan berusaha untuk istiqamah. Jangan putus asa. Mendekati Allah itu mana bisa mengenal erti penat, jemu dan lelah. Inilah kebahagiaan sebenar.

Semat dalam hati.
Hablun minallah dan hablun minannas.
Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia.

Anda kira yang menulis ini baik sangatkah? Menulis begini bukan bererti sudah baik. Masih terlalu banyak yang mesti dibaiki. Saya terasa perit tatkala teringatkan firman Allah dalam surah As-Saff, ayat 2. Yaa ayyuhallazeena aamanu, lima taquuluuna maa laa taf-‘aluun. Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan!
Hati saya pedih. Terasa perit. Hati menangis lagi. Allahuakbar. Allah, Allah, Allah!

Dalam menulis, peringatan itu juga antara yang terselit dalam hati saya. Tatkala menulis, saya terasa sungguh hina. Pandai menulis tetapi mahu berubah juga liat. Malas. Letih. Alasan. Kononnya. Saya mahu berubah. Sedikit demi sedikit jika itu membuatkan diri istiqamah. Insya-Allah! Kerana amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

Terima kasih sudi membaca. Saya amat berharap yang membaca mendapat manfaat walau pun mungkin sedikit sahaja. Kerana saya tidak punya banyak ilmu untuk dikongsikan. Mesti banyak belajar lagi. Juga terima kasih kerana sudi mengambil kertas dan menyalin. Insya-Allah, kita sama-sama beramal.

Juga terima kasih kepada yang membaca tetapi tidak mengambil kertas. Saya pasti anda sebenarnya terlebih dahulu dan sekarang sedang istiqamah melakukan amalan. Kita sama-sama, Insya-Allah.

Akhir kalam, mari kita sama-sama renungkan firman Allah. Besar makna dan hikmahnya.
Surah Ar-Ra'du, ayat 11. Semat dalam hati.


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"

Amat saya hargai anda yang membaca menegur kesilapan saya.

Perkongsian buat semua.
Tamparan buat diri sendiri.
Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca.

"Ya Allah…jadikanlah bicaraku….tulisanku….adalah ibadah kepada-Mu… Ya Rahman….ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan….buangkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati dalam diri ini….Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku… Ya Rahim….jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini…..Ameen......"