Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Rabu, 28 November 2012

Kecewa. Dikecewakan. Mengecewakan.


Dalam hidup, selagi bergelar manusia, kita tidak mampu lari dari kesilapan dan kesalahan. Kita tidak mampu lari dari kecewa, dikecewakan dan mengecewakan. Sedih bukan? Sakit bukan? Perit bukan? Lalu apa yang perlu kita lakukan? Terus-terusan berduka dan melayani perasaan? Atau pun mahu terus bangkit dan berjuang habis-habisan? Yang mana satu menjadi pilihan? Seandainya hati dikecewakan, apa yang perlu dilakukan? Menangis? Meratap pilu segala yang telah berlaku? Atau pun mahu tajdid niat dan bertabah dalam menghadapi liku? Tanya hati dan akalmu. Biarkan hati dan akalmu berbicara. Biarkan imanmu yang meluahkan rasa. Aku tahu. Semangatmu hilang, terbang entah ke mana saat diri berasa lemah dan kecewa. Aku tahu, dirimu tidak berdaya saat semua yang kau damba dan kau impi, tidak menjadi nyata. Aku tahu kadangkala dirimu hampir berputus asa bukan? Sabar saudaraku. Jangan tergopoh-gapah. Aku juga manusia. Aku juga pernah melaluinya. Ya. Lantaran terlalu kecewa dengan manusia dan hidup, aku lupa tentang DIA Yang Maha Esa yang tidak pernah mengecewakanku. Ya. Memang benar, ada saat dan ketikanya, kita mendambakan sesuatu, DIA tidak mengizinkan kita untuk memilikinya. Tapi, ayuh berfikir sejenak wahai saudaraku. Apakah nikmat yang selama ini dikurniakan padamu tidak mencukupi? Jangan jadi tamak wahai saudaraku. Jangan sombong. Ayuh berfikir lagi. Apakah DIA tidak menggantikan sesuatu yang lebih baik bagimu setelah DIA tidak mengizinkan dirimu memiliki apa yang kau pinta? Jangan menipu imanmu. 
Jadi, ingatlah. Saat dirimu berasa kecewa, berzikirlah pada-NYA. Yakni, ingatlah DIA. DIA tidak akan pernah mengecewakan. Pohonlah kekuatan dari-NYA. Berdoalah agar DIA memberikanmu yang terbaik. 
Kecewa. Mengecewakan. Dikecewakan.
Itulah lumrah dunia.
Apa yang penting, kepada siapa kamu bergantung. Kepada siapa kamu berharap. Muhasabah diri. Semoga imanmu menemui jawapannya.


Jumaat, 16 November 2012

Kalah Sebelum Berjuang?


Ya Allah.
Entah apa yang aku rasakan. 
Mengalah sebelum diisytiharkan kalah.
Kalah sebelum berjuang.
Allahurabbi.
Ampuni diri ini.
Sungguh.
Memang benar kalam-Mu.
Manusia ini memang lemah.
Tiada daya dan upaya lain selain-Mu.
Aku tahu mengapa Engkau tidak memilih aku untuk berjuang bersama saudaraku di Gaza, Palestin, Syria.
Kerana aku tidak sekuat mereka!
Kerana aku hamba-Mu yang lemah!
Kerana aku terlebih dahulu mengalah sebelum kalah!
Ya Allah!
Ampunilah hamba-Mu yang lemah dan khilaf ini.
Tiupkanlah kekuatan-Mu ke dalam diriku, jiwaku dan hatiku.
Izinkanlah aku untuk berjihad Ya Allah.
Berjihad menentang hawa nafsuku sendiri!
Aku mohon.
Berikanlah aku kekuatan.


Bicara Bumi Cinta


Tatkala angin menyapa lembut pipi ini,
Tatkala seluruh alam memuji kebesaran Ilahi,
Ada sesuatu yang ku rasakan jauh di sudut hati.
Ingatanku terpateri pada mereka yang tiada di sisi.

Ya.
Mereka yang kini sedang berjuang demi agama Islam yang suci.
Darah insan tidak berdosa membasahi bumi.
Tangisan anak kecil meruntunkan hati.
Bedilan demi bedilan menghujani bumi Ilahi.

Ya Allah.
Mereka kini sedang berjuang demi agama-Mu.
Pinjamkanlah mereka kekuatan-Mu.
Tiada penolong lain selain-Mu.
Aku kasihkan mereka kerana-Mu.

Ya Allah.
Aku tahu ini ujian-Mu buat mereka.
Aku tahu Engkau mahu mengangkat darjat mereka.
Aku tahu Islam akan menang akhirnya.
Aku tahu waktu itu akan tiba.

Wahai saudaraku,
Bertabahlah dirimu.
Dunia kini bersamamu.
Doa kami mengiringimu.
Maafkan aku kerana tidak mampu berjuang bersamamu.
Mungkin Allah belum lagi memilihku.
Mungkin sahaja diriku tidak sekuat dirimu.
Namun,
Apapun yang berlaku,
Aku tetap mencintaimu.
Doaku sentiasa bersamamu.

Wahai saudaraku,
Bersyukurlah.
Kerana kalian mampu syahid jalan-NYA.
Hanya ada dua pilihan.
Menang atau syahid.
Kedua-duanya di jalan-NYA.
Dan kalian tetap akan mati dalam Islam.
Dalam perjuangan.
Semoga JANNAH milikmu.
Semoga dirimu diredhai-NYA.

#PrayForPalestine #PrayForGaza #PrayForSyria #PrayForMuslim #PrayForIslam

Isnin, 12 November 2012

Khalifah;Hamba


 

''Lailahailallah..''
Kalimah tauhid yang mengagungkan kekuasaan-NYA. Tiada Tuhan lain selain-NYA. Hanya DIA yang berhak dan wajib disembah. Subhanallah, Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Bermulanya penciptaan Nabi Adam AS, maka bermulalah keturunan manusia yang diciptakan untuk menjadi hamba-NYA dan memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi-NYA. Di dalam mushaf suci Al-Quran ada diriwayatkan dan diceritakan tentang bagaimana keturunan manusia yang bermula daripada Nabi Adam AS dicipta. Allah SWT memberitahukan kepada para malaikat tentang penciptaan Adam AS. Dia berfirman:

“Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Terj. Al Baqarah: 30)
Yakni makhluk yang satu dengan yang lain saling menggantikan. Demikianlah Allah SWT memberitahu kepada para malaikat tentang penciptaan Adam sebagaimana DIA memberitahu perkara besar sebelum terwujud.
Menurut para malaikat, jika hikmah diciptakannya manusia adalah untuk beribadah kepada Allah, maka sesungguhnya mereka telah beribadah kepada-Nya, mereka berkata,
“Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal Kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?”
Allah Subhaanahu wa Ta’aala berfirman,
“Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Terj. Al Baqarah: 30)
Benar. Allah menciptakan Adam AS dan kita untuk beribadah dan menjadi hamba-NYA serta khalifah di bumi-NYA. 
Dan Tidaklah Aku Menciptakan Jin dan Manusia Kecuali untuk Beribadah Kepada-Ku (Adz Dzariyat : 56)
Begitulah tugas kita sebagai hamba-NYA. Untuk beribadah kepada-NYA. Beribadah? Bagaimana? Jangan sempitkan fikiran dengan mengatakan bahawa beribadah itu hanya solat semata-mata. Hanya perlu berada di masjid dan memegang tasbih setiap masa. Tidak. Ibadah ini luas. Segala-gala yang kita lakukan LILLAHITAALA iaitu HANYA KERANA-NYA, itu dikira ibadah. Menuntut ilmu, bekerja, menulis, makan dan sebagainya merupakan ibadah jika ia disandarkan pada-NYA. 
Ya, memang benar. Untuk menjadi hamba dan khalifah-NYA, pelbagai mehnah ujian yang harus ditempuhi. Terkadang, kita sebagai manusia biasa cepat menyerah kalah sebelum berjuang berhabisan. Bertabahlah. 
 ''Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Al-Insyirah:5-6)
Percaya dan yakinlah akan janji-NYA. Ujian yang diberi bukan sekadar suka-suka. Ianya merupakan wadah untuk kita mengenali Sang Pencipta. Ia diberi untuk menguji keimanan kita terhadap-NYA. Seandainya lemah, seandainya kecundang, seandainya luka berdarah, kuatlah demi Tuhanmu! Kuatlah demi janji-NYA terhadap hamba2-NYA yang beriman! Matlamat hidup kita adalah untuk mencari keredhaan-NYA. Jangan lupa. Jangan alpa. DIA yang memiliki segala-galanya. KITA? Kita hanyalah hamba-NYA. Namun, ALLAH itu Maha Adil, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Ada ganjaran syurga untuk hamba2-NYA yang terus beriman kepada-NYA walaupun telah diuji dengan pelbagai ujian yang memeritkan. Berkali-kali telah tersungkur. Namun, cinta yang tiada ragu pada-NYA sentiasa memberi kekuatan. Dan DIA tidak akan sekali-kali meninggalkan hamba2-NYA yang berpegang pada-NYA. Berdoalah kepada-NYA. Teruskan melangkah. Teruskan berjuang demi mencari redha-NYA. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui. 


Sabtu, 10 November 2012

Ketika Cinta Memanggil


Dia menangis lagi untuk kesekian kalinya. Sungguh dia tidak pernah menyangka perkara itu akan terjadi. Lelaki yang ditunggunya selama lima tahun dengan setianya sanggup meninggalkannya begitu sahaja. Dia tertanya-tanya dimana salahnya. Sudah puas dia meminta maaf meskipun tidak tahu dimana silapnya, tidak rela melepaskan lelaki itu pergi. Dulu dia pernah melepaskan lelaki itu kerana dia tahu waktu itu usia terlalu muda dan perjalanan mereka masih jauh. Namun begitu, dia setia menunggu lelaki itu selama lima tahun atas janji setia mereka. Tiada lelaki lain dihatinya, tiada yang lain dipandangannya. Bukan tidak ada lelaki lain yang mahu mendekati, cuma dia sahaja yang tidak sudi. Setelah lima tahun, lelaki itu hadir lagi dalam hidupnya membawa cinta. Betapa bahagianya dia menyambut kehadiran itu, mengharap impian cintanya berakhir dengan kebahagiaan. Bahkan dia masih ingat bila lelaki itu mengakui pernah menduakannya dalam lima tahun itu; namun kerana sayangnya, dia memaafkan khilaf itu. Bukan dia ingin mengungkit, cuma tertanya-tanya besar sungguhkah salahnya sehingga tiada peluang kedua untuknya? Jauh lebih besarkah daripada khilaf menduakan yang pernah dilakukan lelaki itu? Hanya air mata yang mampu mengumbarkan segala persoalan dihatinya. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan dari bibirnya tika ini.

Seketika dia membuka matanya, masih ada air mata yang bersisa dipelupuknya. Dia memandang jam di sisinya, masih belum masuk waktu subuh lagi. Dia bangun menuju ke bilik air untuk berwudhu’. Usai solat sunat, dia duduk di atas sejadahnya. Air mata mengalir lagi dan kali ini lebih laju. Seingatnya, sudah lama dia tidak bertahajjud begini. Setiap malamnya dia tidur lewat kerana asyik bertelefon dengan lelaki itu. Setiap solatnya menjadi ringkas kerana bergegas untuk membalas sms lelaki itu. Alquran di tangannya sudah lama tidak ditatapnya. Air matanya masih belum mahu berhenti mengalir. Di sebalik kesedihan itu, ada sebuah perasaan tenang yang menyerbu benaknya. Ketenangan yang sukar digambarkan. Benar kataNya:”…hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”(ArRa’d: 28). Sudah terlalu lama dia menjauh dariNya. Kerana cinta manusia, dia lupa cintaNya. Cinta kekasih agung yang tidak pernah hilang meskipun kita lalai, yang tidak pernah pergi meski kita lari, dan yang tidak pernah padam meski kita abaikan. Sesekali tangannya menyapu air mata yang masih mengalir tiada henti. Benar kata-kata yang pernah didengarnya, ketika satu pintu kebahagiaan ditutup ada pintu kebahagiaan lain yang terbuka, cuma manusia selalunya memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sehinggakan tidak nampak pintu lain yang terbuka.  Di saat dia kehilangan cinta manusia, dia dapat kembali nikmat cintaNya. Barangkali Allah mengambil orang yang kita sayang dari sisi kita kerana tidak mahu kasih kita terkurang buatNya. Sejenak itu senyumannya terkuntum. Terima kasih Allah, atas kasihMu yang tiada henti untukku. Terima kasih kerana memanggil aku kembali ke sisi cintaMu setelah jauhnya aku kelana. Aku tidak mahu jauh dariMu lagi ya Allah, desis hatinya.
*                               *                                      *                                       *                                 *

Petang itu, dia ke bandar untuk membeli beberapa keperluan sambil ‘mencuci mata’ di kompleks membeli-belah bersama sahabatnya. Setelah beberapa bulan sibuk bekerja, masa luang begini tidak disia-siakannya. “Ain!” Dia memandang sekelilingnya, mencari sang pemilik suara. Tiba-tiba dia terlihat seseorang  tidak jauh darinya.  “Apa khabar? Sudah lama saya cari Ain…” lelaki itu bersuara. “Kenapa cari saya?”soalnya tenang. “Nurul Ain, maafkan saya…Saya menyesal atas semua yang saya lakukan pada Ain. Saya sedar saya tak akan jumpa perempuan yang lebih baik untuk saya selain awak” suara lelaki itu kedengaran sedikit bergetar. “Saya sudah lama maafkan awak…saya harap awak pun maafkan semua kesalahan saya pada awak” katanya dengan suara sedikit bergetar, mengenang dosa silamnya melalaikan seorang lelaki. Lelaki itu mengangkat wajahnya memandang Ain, “sudikah awak menerima saya lagi?” Ain tahu hari seperti ini akan tiba suatu hari nanti, hari dimana lelaki itu menyesali kesilapannya. Cuma dia tidak menyangka bahawa hari itu adalah hari ini. “Tapi awak silap, hanya Dia sahaja yang menentukan siapa yang lebih baik untuk kita, bukan diri kita sendiri. Bila Allah ambil sesuatu yang kita sayang, sebenarnya Dia nak berikan kita sesuatu yang lebih baik,” katanya lembut. Lalu dia menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu sebelum berlalu.

Lebih kurang dua minggu lagi dia akan melangsungkan perkahwinannya bersama seorang lelaki. Seorang lelaki yang dia tahu mampu membawanya kepada cintaNya. Seorang lelaki yang mahu menjadikannya seorang isteri, bukan teman wanita. Seorang lelaki yang menemui ibu bapanya untuk menyuntingnya, bukan menemui dia untuk mengemis cintanya. Seorang lelaki yang mengajaknya bernikah, bukan bercinta. Sesungguhnya kita merancang, Tuhan juga merancang; tetapi Dialah sebaik-baik perancang. Sesungguhnya Allah telah memberikan ganti kepadanya seseorang yang jauh lebih baik. Seseorang yang tidak pernah dibayangkannya. Segala puji buatMu diatas segala nikmat yang terhingga. Sesungguhnya bahagia itu dariNya, dan hanya dengan redhaNya bahagia itu bersama kita... :) 


karya ; http://nurhabibi-bingkisanseoranghamba.blogspot.com/