Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Rabu, 28 November 2012

Kecewa. Dikecewakan. Mengecewakan.


Dalam hidup, selagi bergelar manusia, kita tidak mampu lari dari kesilapan dan kesalahan. Kita tidak mampu lari dari kecewa, dikecewakan dan mengecewakan. Sedih bukan? Sakit bukan? Perit bukan? Lalu apa yang perlu kita lakukan? Terus-terusan berduka dan melayani perasaan? Atau pun mahu terus bangkit dan berjuang habis-habisan? Yang mana satu menjadi pilihan? Seandainya hati dikecewakan, apa yang perlu dilakukan? Menangis? Meratap pilu segala yang telah berlaku? Atau pun mahu tajdid niat dan bertabah dalam menghadapi liku? Tanya hati dan akalmu. Biarkan hati dan akalmu berbicara. Biarkan imanmu yang meluahkan rasa. Aku tahu. Semangatmu hilang, terbang entah ke mana saat diri berasa lemah dan kecewa. Aku tahu, dirimu tidak berdaya saat semua yang kau damba dan kau impi, tidak menjadi nyata. Aku tahu kadangkala dirimu hampir berputus asa bukan? Sabar saudaraku. Jangan tergopoh-gapah. Aku juga manusia. Aku juga pernah melaluinya. Ya. Lantaran terlalu kecewa dengan manusia dan hidup, aku lupa tentang DIA Yang Maha Esa yang tidak pernah mengecewakanku. Ya. Memang benar, ada saat dan ketikanya, kita mendambakan sesuatu, DIA tidak mengizinkan kita untuk memilikinya. Tapi, ayuh berfikir sejenak wahai saudaraku. Apakah nikmat yang selama ini dikurniakan padamu tidak mencukupi? Jangan jadi tamak wahai saudaraku. Jangan sombong. Ayuh berfikir lagi. Apakah DIA tidak menggantikan sesuatu yang lebih baik bagimu setelah DIA tidak mengizinkan dirimu memiliki apa yang kau pinta? Jangan menipu imanmu. 
Jadi, ingatlah. Saat dirimu berasa kecewa, berzikirlah pada-NYA. Yakni, ingatlah DIA. DIA tidak akan pernah mengecewakan. Pohonlah kekuatan dari-NYA. Berdoalah agar DIA memberikanmu yang terbaik. 
Kecewa. Mengecewakan. Dikecewakan.
Itulah lumrah dunia.
Apa yang penting, kepada siapa kamu bergantung. Kepada siapa kamu berharap. Muhasabah diri. Semoga imanmu menemui jawapannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan