Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Sabtu, 10 November 2012

Ketika Cinta Memanggil


Dia menangis lagi untuk kesekian kalinya. Sungguh dia tidak pernah menyangka perkara itu akan terjadi. Lelaki yang ditunggunya selama lima tahun dengan setianya sanggup meninggalkannya begitu sahaja. Dia tertanya-tanya dimana salahnya. Sudah puas dia meminta maaf meskipun tidak tahu dimana silapnya, tidak rela melepaskan lelaki itu pergi. Dulu dia pernah melepaskan lelaki itu kerana dia tahu waktu itu usia terlalu muda dan perjalanan mereka masih jauh. Namun begitu, dia setia menunggu lelaki itu selama lima tahun atas janji setia mereka. Tiada lelaki lain dihatinya, tiada yang lain dipandangannya. Bukan tidak ada lelaki lain yang mahu mendekati, cuma dia sahaja yang tidak sudi. Setelah lima tahun, lelaki itu hadir lagi dalam hidupnya membawa cinta. Betapa bahagianya dia menyambut kehadiran itu, mengharap impian cintanya berakhir dengan kebahagiaan. Bahkan dia masih ingat bila lelaki itu mengakui pernah menduakannya dalam lima tahun itu; namun kerana sayangnya, dia memaafkan khilaf itu. Bukan dia ingin mengungkit, cuma tertanya-tanya besar sungguhkah salahnya sehingga tiada peluang kedua untuknya? Jauh lebih besarkah daripada khilaf menduakan yang pernah dilakukan lelaki itu? Hanya air mata yang mampu mengumbarkan segala persoalan dihatinya. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan dari bibirnya tika ini.

Seketika dia membuka matanya, masih ada air mata yang bersisa dipelupuknya. Dia memandang jam di sisinya, masih belum masuk waktu subuh lagi. Dia bangun menuju ke bilik air untuk berwudhu’. Usai solat sunat, dia duduk di atas sejadahnya. Air mata mengalir lagi dan kali ini lebih laju. Seingatnya, sudah lama dia tidak bertahajjud begini. Setiap malamnya dia tidur lewat kerana asyik bertelefon dengan lelaki itu. Setiap solatnya menjadi ringkas kerana bergegas untuk membalas sms lelaki itu. Alquran di tangannya sudah lama tidak ditatapnya. Air matanya masih belum mahu berhenti mengalir. Di sebalik kesedihan itu, ada sebuah perasaan tenang yang menyerbu benaknya. Ketenangan yang sukar digambarkan. Benar kataNya:”…hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”(ArRa’d: 28). Sudah terlalu lama dia menjauh dariNya. Kerana cinta manusia, dia lupa cintaNya. Cinta kekasih agung yang tidak pernah hilang meskipun kita lalai, yang tidak pernah pergi meski kita lari, dan yang tidak pernah padam meski kita abaikan. Sesekali tangannya menyapu air mata yang masih mengalir tiada henti. Benar kata-kata yang pernah didengarnya, ketika satu pintu kebahagiaan ditutup ada pintu kebahagiaan lain yang terbuka, cuma manusia selalunya memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sehinggakan tidak nampak pintu lain yang terbuka.  Di saat dia kehilangan cinta manusia, dia dapat kembali nikmat cintaNya. Barangkali Allah mengambil orang yang kita sayang dari sisi kita kerana tidak mahu kasih kita terkurang buatNya. Sejenak itu senyumannya terkuntum. Terima kasih Allah, atas kasihMu yang tiada henti untukku. Terima kasih kerana memanggil aku kembali ke sisi cintaMu setelah jauhnya aku kelana. Aku tidak mahu jauh dariMu lagi ya Allah, desis hatinya.
*                               *                                      *                                       *                                 *

Petang itu, dia ke bandar untuk membeli beberapa keperluan sambil ‘mencuci mata’ di kompleks membeli-belah bersama sahabatnya. Setelah beberapa bulan sibuk bekerja, masa luang begini tidak disia-siakannya. “Ain!” Dia memandang sekelilingnya, mencari sang pemilik suara. Tiba-tiba dia terlihat seseorang  tidak jauh darinya.  “Apa khabar? Sudah lama saya cari Ain…” lelaki itu bersuara. “Kenapa cari saya?”soalnya tenang. “Nurul Ain, maafkan saya…Saya menyesal atas semua yang saya lakukan pada Ain. Saya sedar saya tak akan jumpa perempuan yang lebih baik untuk saya selain awak” suara lelaki itu kedengaran sedikit bergetar. “Saya sudah lama maafkan awak…saya harap awak pun maafkan semua kesalahan saya pada awak” katanya dengan suara sedikit bergetar, mengenang dosa silamnya melalaikan seorang lelaki. Lelaki itu mengangkat wajahnya memandang Ain, “sudikah awak menerima saya lagi?” Ain tahu hari seperti ini akan tiba suatu hari nanti, hari dimana lelaki itu menyesali kesilapannya. Cuma dia tidak menyangka bahawa hari itu adalah hari ini. “Tapi awak silap, hanya Dia sahaja yang menentukan siapa yang lebih baik untuk kita, bukan diri kita sendiri. Bila Allah ambil sesuatu yang kita sayang, sebenarnya Dia nak berikan kita sesuatu yang lebih baik,” katanya lembut. Lalu dia menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu sebelum berlalu.

Lebih kurang dua minggu lagi dia akan melangsungkan perkahwinannya bersama seorang lelaki. Seorang lelaki yang dia tahu mampu membawanya kepada cintaNya. Seorang lelaki yang mahu menjadikannya seorang isteri, bukan teman wanita. Seorang lelaki yang menemui ibu bapanya untuk menyuntingnya, bukan menemui dia untuk mengemis cintanya. Seorang lelaki yang mengajaknya bernikah, bukan bercinta. Sesungguhnya kita merancang, Tuhan juga merancang; tetapi Dialah sebaik-baik perancang. Sesungguhnya Allah telah memberikan ganti kepadanya seseorang yang jauh lebih baik. Seseorang yang tidak pernah dibayangkannya. Segala puji buatMu diatas segala nikmat yang terhingga. Sesungguhnya bahagia itu dariNya, dan hanya dengan redhaNya bahagia itu bersama kita... :) 


karya ; http://nurhabibi-bingkisanseoranghamba.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan