Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Jumaat, 6 Disember 2013

IZRAIL : ''Sudikah kau ku 'lamar' untuk pulang kepada Tuhanku dan Tuhanmu?

''Wahai Si Fulan bin/binti Si Fulan.
Sudikah kau ku 'lamar' untuk pulang kepada Tuhanku dan Tuhanmu, Allah?''

Andai saja malaikat maut itu bertanya begini, tapi hakikatnya, TIDAK. Tiada siapa tahu, bagaimana, bila, di mana dia akan 'pergi'. Tidak aku, tidak kamu, tidak dia, tidak mereka, tidak sesiapa. Lalu bagaimana? 

''Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Maka apabila datangnya ajal, mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat pula mencepatkannya.'' 
(Al-Aaraf:34)

Sepertimana setiap apa yang tercipta itu ada permulaannya, begitu juga setiap permulaan itu ada pengakhirannya. Usia muda, dia dijemput Ilahi. Siapa tahu itu adalah kali terakhirnya bersama keluarga? Kali terakhirnya bercanda dengan sahabat sefikrahnya? Memang, tiada siapa yang tahu. Yang namanya IZRAIL itu seringkali menjengah diri, untuk menarik kembali 'roh' yang berada dalam jasad untuk ketemu Ilahi. 

Allahurabbi. Bagaimana agaknya pengakhiranku nanti? Jujur, kadang-kadang bukan neraka yang kita takuti. Sebenarnya, yang kita takuti, adakah kita 'diterima' dan 'diredhai' Ilahi? Memang, tidak dinafikan, gerun, sangat gerun 'membaca' soal neraka. Terasa sesak nafas, seakan tiada ruang untuk bernafas. Soal syurga atau neraka itu, terserah pada-NYA. Yang aku tahu, aku perlu gapai redha-NYA. 

RINDU. Iya. Rindu. Sangat rindu. Rindu pada dia yang sudah tiada di sisi. Yang sudah tidak kelihatan di mata ini. Seakan mahu peluk saja bayangan yang muncul dalam benak fikiran. Rindu atuk. Rindu maklong. Rindu abang. Rindu adik. Yang paling haru, rindu Rasulullah. Lelaki yang banyak menangis dan berkorban untukku lebih daripada ayahku. Iya, Rasulullah, Nabiku, cinta hatiku. Aku bukan seorang umat yang baik, apa lagi solehah. Jauh sekali untuk mukminah. Aku tidak mahu jadi pendusta. Kalau cinta, harus benar-benar cinta. Harus buktikan yang aku cinta! Salam dan selawat ke atas junjungan besar Muhammad Rasulullah, Allahumma solli'ala saiyyidina Muhammad. Wa'ala aliy Muhammad. 

Aku tahu perit dan pedih rasanya bila orang yang kita cinta, diambil tanpa bicara. Ada satu hal yang perlu kita tahu, nanti-nanti kita akan ketemu. Biiznillah. Ketemu di 'negeri abadi.' Sebagaimana keluarga si mati perlu redha melepaskan dan menyerahkan si dia 'kembali' kepada Tuhannya, sebegitulah aku, kamu, dia dan mereka perlu redha melepaskan segala-galanya 'kembali' kepada DIA. 

Sebetulnya, yang dibilang 'sudah mati' itu sebenarnya 'masih hidup'. Iya, 'masih hidup'. 'Hidup' di sisi Tuhan kita; ALLAH. 'Hidup' dalam doa kita kepada-NYA untuk mereka. Hidup sehidup-hidupnya. Selagi mana kita masih mengirim doa untuk mereka, selagi itulah ia akan 'hidup.' 

CINTA. Iya. Cinta. Cinta berpaksikan Tuhan semata. Indah kan? Meskipun jasad sudah ditelan bumi, masih ada hati yang ikhlas menadah tangan untuk berdoa kepada RABBI untuk si mati. Indah bukan? Semoga saja ada insan yang sudi mengirim doa untukku. Andai aku 'pergi', aku mati, izinkanlah aku untuk terus 'hidup' dalam setiap doamu untukku. 

Moga kita bisa ketemu di 'sana', syurga-NYA. Biiznillah.
Moga matiku, matimu, mati mereka, baik-baik saja.
Husnul khotimah. INSYAALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan