Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Jumaat, 6 Disember 2013

Kerana Tuhanku dan Tuhanmu Terlalu CINTA ; PART2

''Nur, apesal muka sedih semacam? Susah sangat ke paper tadi?'' Belum sempat dia duduk, Haura terlebih dahulu mendekati dirinya. Dia mengambil beg yang disandang Nur lalu menyandangnya. Begitulah Haura, sangat kasih pada sahabatnya.

Dia senyum. Dibiarkan saja Haura dengan karenahnya. Hampir dua tahun di sini, dia rasa seperti dia punya keluarga di sini, di sekolah ini, di bumi tarbiyah Ilahi. Ingatannya kembali ke sekolah lamanya. Ada rindu yang bertamu di hati. Bumi wakafan yang penuh dengan iklim DINI. Dia rindu saat-saat hati dan jiwanya dibelai dengan alunan Al-Quran dan selawat.

''Nur..'' Suara lembut Haura menghentikan lamunannya. Dia memandang kasih sahabatnya. Suasana dalam dewan begitu gamat. Dia melihat para pelajar sangat riang menyambut Hari Raya Aidilfitri di sekolah. Macam-macam ragam, macam-macam gaya. Dia hanya mampu tersenyum, tapi entah kenapa dia dapat rasakan yang senyumannya itu palsu, plastik. Dia mengeluh. Haura memegang tangannya, erat.

''Nur. Kenapa? Soalan tadi susah eh? Tapi Nur kan hebat BI? Mesti kacang je kan jawab tadi?'' Entah kenapa soalan daripada Haura membuat empangan airmatanya pecah. Sebetulnya dia masih 'terasa' dengan gurunya. Dia faham, mungkin gurunya tidak berniat sedemikian. Maklumlah, dia tahu persis bagaimana seorang guru mahu menguruskan para pelajar yang nakal dan tidak berakhlak dengan akhlak yang sebetulnya. Namun, entah kenapa dia tidak dapat terima cara gurunya. Terlalu kasar! Atau mungkin hatinya terlalu sensitif. Entah. Akhirnya, dia teresak-esak di bahu Haura.

''Eh? Nur! Kenapa nih??'' Haura kaget. Dia mula gelabah.

''Tak ada apa-apa.'' Terasa malu pula menangis di hadapan Haura. Mujurlah, masing-masing sedang sibuk menguruskan persiapan untuk menyambut hari raya.

''Iye lah tuh. Eh, Nur! Teman saya pergi tandas boleh tak?'' Haura sengih. Dia senyum.

''Jom!''

*****

''Nur, tandas dewan tak bukak lah. Tandas blok depan rosak. Alaaa, dah tak tahan nih.'' Muka Haura seakan mahu menangis. Dia tahu persis karenah sahabatnya itu. Kalau ada apa-apa, laju saja airmatanya tumpah.

''Tak apa, kita pergi tandas blok belakang.'' Dia cuba untuk menenangkan hati sahabatnya.

''Tak apa ke? Jauh awak nak berjalan nih.'' Haura serba salah.

''Tak apa. Daripada awak terkencing kat sini. Malulah saya. Hehehe.'' Dia mengenyitkan mata kepada Haura. Haura hanya mampu gelak. Mereka jalan beriringan ke blok belakang.

''Nur, kenapa nangis tadi?'' Belum sempat Nur menjawab, dia terserempak dengan tiga orang guru disiplinnya. Tiba-tiba sahaja hatinya kembali sakit. Wajah garang guru yang memegang rotan dipandangnya kosong. Tidak takut, tidak gentar, tidak suka, tidak benci. Entah, kosong sekosong-kosongnya.

''Nak kemana?'' Gurunya bertanya.

''Tandas cikgu.'' Dia memberanikan diri menjawab.

''Heh.Tandas ke nak jumpa jantan?'' Berdesing telinganya mendengar kata-kata gurunya. Dia beristighfar dalam hati. Haura yang dari tadi mendiamkan diri,bersuara.

''Cikgu, saya dengan dia nak ke tandas. Tandas dewan tak bukak.'' Gurunya mencebik.

''Banyak alasan kau kan? Kalau tadi aku jumpa kau kat kelas, aku tanya kau mana kau sorok jantan tuh kau tak nak mengaku. Sekarang kau buat alasan nak ke tandas pulak. Padahal kau nak jumpa jantan kan? Kenapa? Dah seronok sangat tidur ngan jantan? Dah seronok sangat kena raba kena pegang? Tuh, perut tuh dah ke depan dah! Kau mengandung kan? Dah berapa bulan? Jantan mana yang kau tidur???? Kau tak payah nak sorok dari aku lah! Berjubah kononnya, pakai tudung besar-besar sebab nak tutup dosa kau kan? Kau bagitau aku sekarang dengan jantan mana kau buat!'' Serasa seluruh dunia berhenti berputar. Segalanya jeda. Waktu seakan kaku, tidak mahu beredar.

''Ini fitnah!'' Lantang saja suaranya bersuara mempertahankan maruahnya, maruah ibu ayahnya! Turun naik nafasnya menahan amarah yang kembali beraja dalam jiwa. Empangan airmatanya hanya tunggu masa untuk pecah! Diciptakan sabar dengan istighfar. Dia cuba tenangkan hatinya dengan selawat yang tidak putus-putus. Memang dia akui, jubahnya sedikit besar. Dia tidak suka pakai 'jubah maksiat.' Memang, dia akui dia nampak gemuk dan besar bila berjubah tapi dia tidak mengandung!

''Rabbi! Bantu aku!'' Hatinya merintih, pilu.

Guru yang berada di hadapannya memandangnya jelek. Bengis sekali wajahnya. Haura sudah mula menunduk dan bersembunyi di belakangnya. Terketar-ketar Haura mendengar suara lantang gurunya memarahi sahabatnya. Dia mengenggam erat tangan sahabatnya, tidak mahu dilepaskan.

''Fitnah kau kata? Mata aku belum buta! Tadi aku nampak kau yang pegang-pegang, raba-raba dengan jantan kat blok belakang! Berjubah warna sama! Kau tak payah nak tipu aku lah! Tak ada maruah langsung! Mak bapak kau tak ajar kau ke hah??'' Suara garau gurunya seakan halilintar yang membelah hati dan atmanya.

Pedih.Sakit. Perit. Terketar-ketar dirinya menahan nafsu amarah.

''Allah. Allah. Allah. Ataghfirullah. Astaghfirullah. La hawla wala quwwata illa billah. Hasbunallah wanikmal wakeel. Nikmal maula wanikmannaseer.'' Dia mengalunkan kalimah-kalimah agung Allah dalam hati.

Dia rasa maruahnya sudah robek. Sudah tercalar!

''Cikgu, mak ayah saya masih tahu macam mana cara nak ajar anak dia. Kalau saya buat onar, conteng arang kat muka diorang, ayah orang pertama yang saya akan suruh untuk bunuh saya!'' Agak keras suaranya, tapi dia cuba untuk tidak meninggikan suaranya. Dia masih tahu batas. Dia sedar, dia hanya pelajar, yang 'dilawannya' itu, gurunya!

Kali ini, dia tidak dapat menahan airmatanya. Akhirnya, dia tewas jua. Haura juga sama. Sakit hatinya mendengar ucapan gurunya. Dia tahu, Nur tidak salah. Dia kenal Nur bagaimana. Tapi, dia juga tahu. Gurunya itu hanya menjalankan amanah. Mungkin saja caranya yang tidak kena. Biasalah, pelajar sekolah biasa kadang-kadang tak termakan dek kelembutan. Bila guna kekerasan, barulah nampak impaknya.

Gurunya hanya mencebik. Haura dan Nur teresak-esak. Nur mengesat airmatanya. Dia mengangkat wajahnya nak memandang tepat ke dalam mata cikgunya. Waktu itu, dia sudah lupa, dia seharusnya menundukkan pandangan. Dia sudah tidak mampu. Maruahnya, maruah ibu ayahnya sudah robek!

''Saya boleh buktikan pada cikgu saya perempuan suci.'' Mendatar sahaja suaranya. Semangatnya sudah terbang, tidak tahu hilang ke mana. Guru-gurunya kelihatan kaget.

''Kau diam. Sekali lagi kau bersuara, aku heret kau ke bilik disiplin. Dah! Aku cuma nak jaga kau! Tak faham lah aku dengan budak-budak sekarang! Seronok sangat agaknya buat maksiat, bagi jantan sentuh, raba situ sini. Bila dah uweekkk uweekkkk mengandung, susahkan aku, susahkan sekolah, susahkan mak ayah! Mula lah anak tuh nak dibuangnya merata-rata! Dibunuhnya! Bunuh diri pun ada! Daripada buat satu dosa dah berganda dosanya!'' Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya tanda dia bukan perempuan yang gurunya fikirkan!

''Kau pergi masuk dewan sekarang!'' Suara lantang gurunya mengejutkan dirinya. Haura sudah pucat mukanya. Tangannya sejuk.Nur dapat rasakan tubuh Haura bergetar hebat! Allah! Dia hampir lupa! Haura paranoid! Dia tidak boleh mendengar suara-suara lantang! Dia akan rasakan suara itu akan 'membunuh'nya dalam diam. Nur memeluk erat tubuh Haura. Dia memapah Haura kembali ke dewan. Pucat lesi muka Haura. Berpeluh-peluh dirinya seakan menahan kesakitan yang amat dalam!

Sampai sahaja di dewan, Nur menghulurkan air kepada Haura.

''Apesal nih????'' Ruqayyah menghampiri dirinya dan Haura. Tiba-tiba sahaja dia menangis. Setiap kata-kata hinaan seakan bergema dalam dirinya dan mengejek-ejek dirinya. Ruqayyah kaget. Kebetulan teacher ada di situ.

''What is going on here? Ya Allah, Nur! Kenapa nih? Kenapa nangis? Apa dah jadi???'' Bertubi-tibi soalan daripada teacher nya. Dia sudah tidak mampu menanggung semua ini sendiri. Dicerita satu-persatu dari A-Z apa yang terjadi. Bermula insiden dalam kelas hinggalah ke insiden tadi. Teresak-esak dirinya menahan sendu.

Tiba-tiba sahaja teacher nya memeluk dirinya dan menangis. Waktu itu, dia sudah tidak berdaya melakukan apa-apa hatta menangis sekalipun. Airmatanya sudah kering. Hatinya juga kering.

''Maafkan teacher. Teacher yang salah.'' Erat dia memeluk pelajarnya. Nur hanya mendiamkan diri. Hanya mampu membatukan diri. Saat ini, dia sudah tidak rasa apa-apa.

''Tuhan, kenapa kau uji aku?'' Hatinya bermonolog sendiri.

Hari itu, dia pulang awal ke rumah. Tidak sempat untuk menyambut hari raya bersama sahabat-sahabat dan guru-gurunya lebih lama. Jiwa dan hatinya sudah kosong, tidak rasa apa-apa. Cerita tentang dirinya sudah tersebar. Ramai guru yang mengamuk marah. Iyalah, kebanyakan guru kenal siapa dia, bagaimana dirinya dan keluarganya. Tidak mungkin rasanya dia akan melakukan hal-hal sebegitu! Dia adalah salah seorang tokoh dan murid harapan sekolah! Gambar wajahnya dan sahabatnya saja dimana-mana di sekolahnya.

Di rumah, dia hanya mendiamkan diri, hanya mampu termenung. Kata-kata itu masih bergema, terngiang-ngiang di halwa telinganya.

''Kak, kenapa nih?'' Ibunya mendekati dirinya. Dia tidak berpaling mahupun berganjak. Dia masih lagi termenung. Si ibu tahu, anaknya dalam masalah, masalah besar!

''Kak...'' Seorang ibu takkan pernah putus asa. Sewaktu ibunya memeluk dirinya, entah kenapa airmatanya tumpah lagi.

''Mak.... Kak tak salah. Kak tak pernah buat benda-benda tuh. Mak percayakan kak kan?'' Dia memegang erat tangan ibunya. Wajah dan matanya ibunya direnung dalam. Ibunya merenung ke dalam anak matanya, cuba untuk menyelami isi hati si anak, namun dia tidak mengerti.

''Mak percayakan anak mak. Tapi, apa dah jadi?'' Tanpa berfikir panjang, Nur menceritakan segala-galanya. Kadang-kadang, hampir tersasul dirinya kerana terlalu asyik menangis. Si ibu hanya mampu beristighfar mendengar cerita anaknya.

''Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kuatnya Engkau menguji anakku Ya Allah.'' Menitis airmata si ibu saat mendengar keseluruhan cerita si anak. Dipeluk, dicium anaknya itu. Dia cuba untuk memberikan kekuatannya kepada si anak. Terkilan hati seorang ibu bila anaknya dituduh berzina, mengandung dan sebagainya. Hebat sungguh mulut manusia! Mampu 'membunuh' jiwa-jiwa dengan racun air liur yang berbisa!

Tanpa berfikir panjang, si ibu menelefon si ayah yang berada di tempat kerja. Waktu itu si ayah sedang rehat. Letih benar rasanya menjadi seorang buruh. Tapi, apakan daya, isteri dan anak-anak itu amanah Allah kepadanya. Dia wajib menjaga amanah dari-NYA dengan sebaik-baiknya. Tubuh si ayah itu sudah tua. Tapi, digagahkan jua demi melihat anak-anaknya menjadi seorang manusia yang berguna untuk agama. Biar miskin harta, asal kaya agama. Di ajar anak-anaknya dengan akhlak Baginda Rasulullah, beramal dengan Al-Quran dan sunnahnya. Si ayah sangat berharap anak-anaknya mampu jadi orang yang berguna di mata Allah, terutama anak sulungnya, satu-satunya anak perempuannya. Nur, harapan keluarga, harapan adik-adik. Didiknya Nur dengan sebaik-baiknya. Tidak pernah dia menengking atau menghukum Nur. Lagipun, Nur tidak pernah melakukan hal-hal yang membuat hatinya terluka. Dia benar-benar 'menyerahkan' Nur kepada Tuhannya.

''Kenapa menangis nih?'' Si ayah bertanya lembut.

''Abang..Anak kita, kak...''

''Kenapa dengan kak???'' Si ayah cepat-cepat bertanya. Soal anak perempuannya, dia tidak mampu berdiam diri. Laju sahaja percakapan si isteri dipotongnya. Si ibu menceritakan segala-galanya kepada si ayah. Si ayah hanya mampu mendiamkan diri dan beristighfar.

''Mana kak?'' Waktu itu Nur mendengar segala perbualan ayah dan ibunya. Sengaja dia menyuruh ibunya membuat 'loud speaker.' Dia mendekati ibunya.

''Ayah....'' Sayu dia memanggil ayahnya. Dia berharap ayahnya pulang dengan segera. Tapi, apakan daya! Dia tahu ayahnya perlu bekerja. Mereka bukannya orang kaya.

''Kak.Dengar cakap ayah. Ujian yang hebat untuk orang-orang yang hebat. Allah uji sebab Allah sayang. Sangat sayang. Ada hikmah di sebalik setiap ujian. Percaya ayah, percaya Allah.'' Laju sahaja ayahnya memulakan bicara.

Nur hanya mampu menangis. Si ibu memeluk erat anaknya.

''InsyaAllah, kak faham.'' Akhirnya, dia akur juga.

Petang itu, seorang guru perempuan datang bertandang ke rumahnya. Gurunya itu sudah tahu segala-galanya.

''Nur, cikgu mintak maaf.'' Digenggam tangan Nur seerat-eratnya. Nur hanya mampu tersenyum. Cikgunya itu tiada mengena. Jadi, tiada sebab untuk dia marah atau bermasam muka. Kalau ada pun, dia sedar, dia pelajar, dan itu guru.

''Cikgu tak salah. Tak ada apa pun yang perlu saya maafkan.'' Dia cuba untuk menguatkan dirinya. Dia cuba untuk tersenyum. Gurunya hanya memandangnya sayu.

''Hebatnya ujian awak, Nur. Sabarlah, cikgu-cikgu semua dah berpakat tadi. InsyaAllah, cikgu akan bersihkan nama awak. Cikgu-cikgu kebanyakannya kenal siapa awak.'' Dia hanya mampu mengangguk. Dia akui, di sekolah barunya, kebanyakan cikgu kenal dirinya. Mungkin kerana dia dari sekolah agama, mungkin kerana prestasi akademik dan kokonya. Allahu'alam. Yang dia tahu, dia terasa seperti semua yang berada di sekolah itu keluarganya, terutama makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang selalu menyapu kawasan sekolahnya. Entah kenapa, dia suka bersembang dengan mereka. Seolah-olah Tuhan sedang ingin mengajarnya untuk menghormati semua orang, tidak kira siapa dan pangkat apa.

Malam itu, dia menangis semahu-mahunya. Dia tahu, Allah sedang mentarbiyah dirinya. Dia tahu, Allah terlalu cintakan dirinya, rindukan dirinya. Malam itu, sakit lututnya, lenguh kakinya bersolat. Dia pegang firman Allah, ''Dan mintalah pertolongan dari Allah dengan sabar dan solat.''(Al-Baqarah:45)
Serasa sudah kering airmatanya menangis. Dia cuba bermuhasabah diri. Kalau dulu, 2 tahun yang lepas, dia bodoh kerana menyalahkan takdir dan Tuhannya. Hampir saja dia tidak percaya pada Tuhannya. Hampir saja. Tapi, syukur alhamdulillah. Guru kaunselingnya banyak membantu dirinya. Apa lagi waktu itu dia bersekolah di sekolah agama. Hati dan jiwanya 'dibasuh' dengan ayat Al-Quran dan selawat tidak putus-putus ke atas Baginda. Dia memandang mushaf Al-Quran miliknya. Dipeluk, dicium mushaf itu sepuas-puasnya. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu surah mulia.
''Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati. Padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu beriman.''(Ali-Imran:139)

''Mungkin Allah ingin menghapuskan dosa-dosaku dahulu dengan cara ini. Siapa tahu. Ya Allah, berikanlah aku sedikit kekuatan. Mungkin ini caranya agar aku lebih dekat pada DIA. Ya Allah, apa saja dari-Mu, aku terima. Cuma, aku mohon, redhakanlah hatiku, kuatkanlah jiwaku dan lembutkanlah hati guruku.'' Malam itu, lenanya berteman airmata dan mushaf mulia.

Keesokan harinya dia tidak ke sekolah. Mungkin kerana terlalu melayan perasaan, dia demam. Sayu hati seorang ibu melihat keadaan anaknya. Kadang-kadang dia terfikir, entah bagaimana agaknya dirinya seandainya dia yang dituduh berzina dan mengandung! Pasti dia tidak kuat seperti anaknya!

''Rabbi, berikan kekuatan kepada anakku untuk menjalani ujian-Mu.'' Dia berdoa dalam hati.

*****

Keesokan harinya dia menggagahkan diri untuk ke sekolah. SPM sudah tidak lama. Dia perlu kuat. Dia perlu bangkit. Andai rebah kerana manusia, bangkitlah dengan nama Allah.

''Nur, semalam cikgu cari awak.''

''Cikgu mana?''

''Cikgu disiplin kita.''

Dia diam.

''Kenapa?''

''Entah.Saya bagitau cikgu awak tak datang sekolah. Cikgu tanya kenapa? Terasa? Orang bersalah memang macam tuh.'' Terasa panas hatinya dan telinganya. Dia beristighfar. Cuba untuk tenangkan hatinya.

''Woii Nur! Kau mengandung eh? Patut la pakai jilbab besar-besar. Kau nak tutup perut kau eh? HAHA! Tak sangka kononnya baik, tapi cehhh, teruk pada aku!'' Dia hanya menelan kata-kata hinaan sahabatnya. Dia tahu sahabatnya itu memang tidak sukakan dia sejak mula-mula dia menjadi 'tumpuan' guru-guru di sekolahnya.

Hari itu, waktu rehat, dia sengaja minta keluar ke klinik dengan alasan dia sakit. Sebenarnya dia ke klinik untuk buat checkup, untuk mengesahkan yang dia tidak pernah tidur dengan mana-mana lelaki, tidak pernah berzina dan tidak pernah mengandung apatah lagi melahirkan anak! Dia masih punya harga diri. Dia masih tahu batas-batas. Dia muslimah! Dia seorang Islam! Masakan dia akan melakukan sesuatu di luar batasan?? Selagi belum nikah, dia takkan benarkan mana-mana lelaki menyentuh apatah lagi 'merosakkan' dirinya. Dia tahu batas agama, dia masih waras! Yang dia tahu, dia perlu bersihkan namanya. Itu fitnah, kasihan ibu ayahnya kalau hal ini tersebar ke mana-mana!

Keputusan UPT kini di tangannya. Hasilnya, negatif. Dia tidak mengandung. Dalam diam, dia menangis. Mujur saja doktor itu faham keadaannya dan memberi kata-kata semangat kepada dirinya. Berbekalkan kekuatan yang masih bersisa, dia menggahkan diri untuk berjumpa dengan gurunya dan membersihkan namanya. Hasil UPT digenggamnya erat. Laju saja dia menuju ke bilik disiplin.

''Nak apa?'' Gurunya enggan melihat dirinya.

Nur menarik nafas panjang.

''Saya ke sini untuk bersihkan nama saya. Itu hasil ujian, negatif. Saya tak mengandung dan untuk pengetahuan cikgu, saya seorang muslim, seorang muslimah, seorang Islam. Saya faham kalau cikgu stress hadapi budak-budak nakal, yang akhlaknya kurang bermoral, tapi cikgu, saya mohon satu perkara. Sebelum cikgu berkata apa-apa, tolonglah fikirkan sedalam-dalamnya. Cikgu dah menfitnah saya. Menuduh saya berzina, mengandung dan sebagainya. Mak dan ayah saya mungkin bukan orang berada, bukan ustaz, ustazah, bukan tok imam atau tok bilal, tapi mak dan ayah saya masih tahu cara untuk mengajar saya dan adik-adik saya. Kami Islam, kami masih tahu batas-batas dalam agama. Saya mintak maaf kalau tindakan dan kata-kata saya lancang, tapi cikgu yang paksa saya untuk bersikap kurang ajar. Terima kasih cikgu dan saya harap cikgu takkan buat perkara yang saya pada pelajar lain. Jangan sebab tekanan yang cikgu hadapi, orang lain jadi mangsa. Assalamu'alaikum.'' Dihambur segala kata-kata yang sudah lama membengkak dalam hatinya tanpa memberi peluang sedikitpun kepada gurunya untuk berkata-kata. Hasil ujian diletakkan di atas meja gurunya. Biarlah dia digelar derhaka oleh gurunya. Biarlah apa orang nak kata. Maruahnya sudah pun dirobek. Ditebalkan mukanya masuk ke klinik ibu-ibu mengandung dengan berpakaian sekolah. Maruahnya sudah tercalar, sahabat-sahabat yang tidak suka kepadanya mengejek-ejek dirinya. Sudah tiada apa lagi yang tinggal. Tiada yang tahu, tiada yang memberi semangat kepadanya. Semua seakan lari daripadanya, kecuali DIA. Iya, DIA; ALLAH.

 Dia meninggalkan bilik disiplin dengan hati yang lapang dan tenang. Direnungnya ke dada langit.

''Tuhan, aku tahu kau bersamaku.'' Hatinya bermonolog sendiri.

*****

''Nur.''

''Iya ustazah?'' Dia mendekati guru kelasnya.

''Ada apa-apa yang ustazah nak saya tolong ke?'' Ustazah menggeleng. Dia kehairanan.

''Tahniah.'' Ustazah memegang erat tangannya.

''Tahniah kenapa?'' Dia mengerutkan dahinya.

''Tahniah kerana mampu merendahkan ego seorang guru. Tahniah kerana mampu menghadapi ujian Allah. Tahniah untuk segala-galanya. InsyaAllah, ustazah yakin, ujian yang awak dapat nih permulaan awak untuk menghadapi ancaman dunia luar. Terus berusaha dan yakin pada-NYA. Allah itu ada, dekat. Cikgu disiplin awak dah akui kesilapan dia. Kami semua dah explain kat dia siapa awak sebenarnya. Awak benar-benar hamba yang hebat.'' Ustazah memeluk dirinya.

''Syukur alhamdulillah, Ya Rabbi. Iyyaka na'budu wa iyyaka nastaeen. Engkau sajalah yang berhak di sembah dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan, Ya Allah.'' Untuk kesekian kalinya, airmatanya menitis jua.

Sungguh nikmat tarbiyah dan hikmah yang Allah beri kepada hamba2-NYA. Kini, dia semakin kuat untuk menghadapi setiap tomahan, hinaan, cacian, fitnah dari manusia. Selagi dia yakin pada Allah, selagi itu tiada apa yang perlu dia khuatirkan. Sungguh, Allah itu dekat.

''Dan apabila hamba2-Ku bertanya tentang-Ku, katakanlah, sesungguhnya Aku dekat. Aku perkenankan permohonan mereka apabila mereka berdoa kepada-Ku. Maka, hendaklah mereka menyahut seruanku, dengan mematuhi perintah-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.''(Al-Baqarah:186)

Sungguh, tiada suatu apa pun yang sia-sia. Andai diuji, yakinlah dan berdoalah kepada Rabbi. Muhasabahlah, mungkin saja ada silap kita di mana-mana. Siapa tahu, Allah ingin menghapuskan dosa kita dan ingin mengangkat darjat kita? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Siapa tahu, sebenarnya setiap tarbiyah dan mehnah yang Allah beri kepada kita, itu adalah 'latihan' untuk kita lebih kuat dalam medan perjuangan Islam. InsyaAllah, moga lebih kuat untuk hadapi karenah dan ragam manusia. Positif saja. Ujian buat guru lain caranya, ujian buat pelajar lain gayanya. Apa saja, tarbiyah Allah untuk kita mungkin berbeza, tapi kita tetap menuju destinasi yang sama; DIA. Kadangkala, kita suka salahkan takdir tanpa kita fikir dan sedar, sebenarnya yang salah itu kita, bukan DIA. Bersyukurlah, dan terus jadi hamba-NYA, sebenar-benar hamba-NYA. Kalau kita rasa, ujian kita berat, percayalah, ada yang lagi berat ujiannya. Ikhlaskan diri. Hadapi dengan RABBI.

Terus kuat demi-NYA kerana Tuhanku dan Tuhanmu; ALLAH terlalu cinta!

- TAMAT -

Maaf segala silap salah. Semoga ia menjadi ibrah untuk semua. Jangan salahkan sesiapa, tapi muhasabah diri dan yakin, ALLAH itu ada, terlalu dekat dengan kita. Sungguh, setiap tarbiyah yang dirasakan 'susah', 'payah' sudah pun kita lalui dengan jayanya. Alhamdulillah. Syukur kepada-NYA. Kerana-NYA, kita kuat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan