Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Jumaat, 6 Disember 2013

Kerana Tuhanku dan Tuhanmu Terlalu CINTA; PART1

''Mana kau sorok lelaki tuh??'' Terkejut dirinya apabila sebatang rotan hinggap di mejanya. Tersentak dirinya ditegur begitu. Terpinga-pinga dirinya, tidak tahu apa-apa. Dia beristighfar. Kelihatan empat orang guru disiplin mengelilinginya. Tiga lelaki, seorang perempuan.

''Lelaki apa cikgu? Saya tak faham.'' Sungguh dia tidak mengerti. Yang dia tahu, dia sedang menjawab kertas soalan Bahasa Inggeris. Sepatutnya dia menduduki peperiksaan percubaan SPM untuk kertas Bahasa Inggeris itu seminggu yang lepas. Tapi, disebabkan dia sakit, dia terpaksa menjawab kertas itu hari ini, sendiri, di sini, di kelasnya.

''Kau jangan buat tak tahu pulak apa yang aku cakap. Kau sorok kat mana lelaki tuh??'' Lantang suara guru disiplinnya membuat hatinya beristighfar keras. Dia tidak tahu apa-apa. Lelaki apa? Lelaki mana? Yang dia tahu, dia sendiri di sini.

''Cikgu, saya betul-betul minta maaf. Tapi, saya tak faham apa yang cikgu cakapkan. Saya sendiri kat sini. Orang lain semua ke dewan, ada majlis sambutan hari raya. Saya terpaksa jawab kertas peperiksaan sendiri kat sini. Teacher takde. Teacher ada kerja kat luar. Sebab tuh saya diarah untuk jawab kertas soalan kat sini. Saya tak faham apa yang cikgu cakapkan.'' Dia cuba membela diri. Habis terbang segala idea untuk essay kertas BI nya.

Empat orang guru disiplin berpandangan sesama sendiri. Dia hanya memerhati. Tidak berniat untuk masuk campur atau bercakap. Dia masih lagi terkejut.

''Awak dah habis jawab kertas soalan?'' Guru disiplin perempuan bersuara. Jelas kelihatan pada raut wajahnya, sebenarnya dia percaya akan pelajar di hadapannya. Nur memandang gurunya. Entah kenapa, dia dapat rasakan yang gurunya itu percaya padanya.

''Belum cikgu.'' Dia menunduk. Dia tidak berani untuk berlawan mata dengan tiga orang guru lelaki yang sedang memandangnya seperti seorang pesalah besar!

''Bahaya awak duduk kat sini sorang-sorang. Orang lain semua ke dewan. Blok awak nih blok belakang. Blok yang 'bahaya' kalau duk sorang-sorang. Ramai lelaki yang lepak kat sini.'' Guru disiplin perempuan meluahkan kebimbangan. Tekun dia mendengar setiap ucapan yang keluar daripada mulut gurunya. Dia mengangguk-angguk, tanda faham.

Dia tahu, sekolahnya sekolah harian biasa. Berbeza daripada sekolah agamanya dahulu. Sedikit 'terbuka' dan sosial. Sudah hampir dua tahun dia di sini. Memang, dia tidak nafikan ada sesetengah pelajar lelaki begitu nakal. Tapi, setakat ini, tiada yang berani mengusiknya apatah lagi menganggu dirinya. Mungkin kerana mereka tahu dia dari sekolah agama atau mungkin sekali penampilannya yang berjilbab labuh dan besar ala-ala ustazah. Allahu'alam. Daripada sudut pandangannya, dia lihat pelajar lelaki sekolah barunya itu nakal-nakal biasa saja. Masih tahu batas-batas norma. Entahlah, kadang-kadang nama saja sekolah agama, di luar tidak terjaga. Kadang-kadang, nama saja sekolah biasa, tapi masih tahu batas-batasnya. Sebenarnya, sekolah apa-apa, mana-mana, tiada bedanya. Yang salah dan yang betul itu akhlak pelajarnya, bukan pada nama sekolah. Dia bersyukur, dia pernah bersekolah agama dan dia sangat bersyukur dipilih untuk ke sekolah 'biasa', di mana para pelajar di sekolahnya ini memang 'dilabel' tidak berguna, tidak berakhlak, baik lelaki mahupun perempuan. Tapi hakikatnya, dia dapat rasakan pelajar di sini sangat dahagakan iklim DINI, iklim Islam. Mungkin kerana 'desakan' dan tomahan masyarakat luar membuat mereka berputus asa. Tiada yang mahu membantu, apa lagi menegur silap mereka. Dia lihat para guru di sini berusaha hebat untuk 'membetulkan' akhlak pelajar. Dia sangat-sangat menghormati dan menghargai usaha guru-gurunya. Ternyata, pelajar-pelajar dan guru-guru di sini lebih mujahadah!

Tiba-tiba ingatannya terfokus pada perbualannya dengan seorang 'sahabat baru' di sekolahnya ini.Sahabatnya itu dari kelas belakang, kelas tercorot dalam Tingkatan 5. Dia masih ingat setiap butir perbualannya dengan sahabatnya.

''Untung kan awak sekolah agama?''

''Apa yang untungnya?''

''Iya lah. Sekolah agama, terjaga. Yang lelakinya tak nakal. Yang perempuannya terjaga, solehah. Saya teringin untuk jadi macam diorang. Tapi, saya tak boleh. Orang luar selalu cakap budak sekolah biasa teruk.''

Dia hanya mampu diam. Dia tahu, semua orang menyanjungi 'pelajar sekolah agama.' Tapi, tiada yang tahu, ada sesetengah pelajar akhlaknya tidak seperti sekolah agama. Dia perhatikan sahabatnya. Bertudung bawah paras dada, bawah paras bahu, hampir ke siku dan memakai handsock. Dia hanya senyum. Ditenung wajah sahabatnya. Tenang. Dia mungkin pelajar sekolah biasa, mungkin pelajar dari kelas tercorot, tapi penampilannya, akhlaknya, MashaAllah!

''Budak sekolah biasa pun ada yang soleh solehah.''

''Maksud awak?''

Dia menarik tangan sahabatnya itu ke tandas. Dibawa sahabatnya itu ke hadapan cermin. Sebuah cermin memantulkan dua figura di dalamnya. Satu bertudung labuh 'bekas' 'budak sekolah agama', dan satu lagi bertudung labuh, 'budak sekolah biasa.'

''Awak ada nampak perbezaan kita?''

Dia menggeleng. Nur tersenyum.

''Wardah, pelajar sekolah agama atau biasa, itu bukan soalnya. Soalnya adalah kita. Kita yang memilih untuk menajdi manusia berguna atau menjadi hamba dunia. InsyaAllah awak lagi solehah daripada mereka yang bersekolah agama. Awak lebih mujahadah. InsyaAllah, saya akan bantu apa yang saya mampu. Kita sama-sama usaha untuk jadi solehah.''

''Pannnnnnngggggggggggg!!!!!!'' Bunyi rotan yang hinggap di mejanya menghentikan lamunannya.


''Alaaaa. Kalau dah perempuan sundal tuh, sundal lah jugak!'' Guru disiplin yang memegang rotan bersuara. Kali ini dia mengangkat wajahnya. Merah padam mukanya. Dia mencerlung tajam ke arah gurunya. Lantang sungguh gurunya berbicara!

Kali ini, dia berlawan empat mata dengan guru disiplinnya. Tiada takut, tiada gentar. Hanya amarah yang menguasai jiwanya, tapi hatinya cepat-cepat beristighfar. Dia kenal persis dirinya. Dirinya pantang dicabar, amarahnya pantang diusik!

''Saya bukan perempuan yang ada dalam fikiran cikgu.'' Suaranya mendatar, keras. Turun naik nafasnya menahan amarah yang beraja dalam jiwa. Gurunya mencebik.

''Kau nak ajar aku pulak?'' Dia menghentak rotannya di atas meja. Guru-guru lain memejamkan mata tanda terkejut tapi tidak bagi Nur. Dia masih merenung tajam ke arah gurunya. Bukan mahu kurang ajar, tapi gurunya itu sudah melampau!

''Aku tanya kau kali terakhir. Mana kau sorok jantan tuh????'' Lantang gurunya bersuara. Gema suaranya seakan mampu didengar kelas sebelah. Nur masih lagi diam. Dia tidak henti-henti beristighfar dalam hati. Seakan mahu menangis pula rasanya. Dia dapat rasakan maruah dirinya diinjak-injak!

''Cikgu, jantan yang cikgu maksudkan tuh tak ada! Tak wujud!'' Kali ini suaranya sedikit meninggi. Dia hairan. Apa gurunya itu buta? Dia sendiri dalam kelas!

Gurunya mencerlung dirinya. Seakan mahu ditelan saja pelajar yang berjubah di hadapannya.

''Baik, kalau kau tak nak bagitau, aku cari sendiri!'' Guru tadi membuka satu rak besar dalam kelasnya. Kalau ikut logik akal, memang rak tersebut mampu memuatkan seorang manusia. Tiada! Nur tenang di tempat duduknya. Guru-guru lain saling berpandangan. Gurunya masih tidak berpuas hati. Dicarinya pula di tempat duduk guru di hadapan kelasnya. Pun tiada! Merah padam muka gurunya.

''Kali nih kau terlepas.'' Keras dan kasar sekali ucapan itu pada pendengarannya. Dia hanya mampu memandang lesu ketiga-tiga orang guru lelakinya pergi. Nur terduduk. Diciptakan sabar dengan istighfar. Entah apa dan dimana silapnya. Guru disiplin perempuan masih di situ, menemaninya.

''Sudahlah. Bahaya awak duduk sini. Pergi dewan sana. Kertas nih biar saya pegang. Nanti saya maklumkan pada teacher awak.'' Dia hanya mendengar saja ucapan gurunya tanpa bereaksi apa-apa. Kertas BI direnungnya kosong. Fikirannya bercelaru. Kalau dia teruskan, memang dia takkan mampu untuk menjawab kertas soalan dalam keadaan begitu. Akhirnya dia hanya berlalu begitu saja tanpa menghiraukan apa-apa.

*BERSAMBUNG*

Tiada ulasan:

Catat Ulasan