Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Jumaat, 28 Disember 2012

Aku Ingin Berubah - Usah Hanya Pandai Menutur Cinta


By: Rabiatul Fatimah Azzahra bt Rashid
- Kakak kesayangan saya-
Uhibbukifillah.
http://www.syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/2011/06/aku-ingin-berubah-usah-hanya-pandai.html

Aku cinta Allah. Aku cinta Rasulullah.
Semudah itu menutur bicara manis.
Apakah kata-kata itu diiringi muhasabah terhadap amalan?

Dilihat di sana sini. Di blog mahupun Facebook.
Menggunakan username atau nickname.
Akulah Pendekar Islam. Akulah Mujahiduddeen.
Aku  Laksamana Syahid. Aku Khalifah di Bumi Allah.
Lagi?

Akulah Muslimah Sejati. Akulah Mawar Mujahidah.
Akulah Perindu Syurga Abadi. Akulah Pendamba Kasih Ilahi.
Akhir sekali, akulah Syauqatul Wardah. Mawar Berduri. Baik, mengutuk diri sendiri.
Maaf, nama di atas adalah yang terlintas di fikiran. Jika sama, itu adalah kebetulan.

Rimas. Lemas. Benci dengan diri sendiri. Menangis.
Cakap memang senang. Tulis memang mudah. Amalan bagaimana?

Benci. Hanya pandai menulis entri berjela-jela. Kononnya baik sangat aku ini.
Amalan entah bagaimana. Ah, lagi. Lemas! Lemas dalam kata-kata sendiri yang mengajak ke arah kebaikan. Hanya mampu menangis. Lemah. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Rebah.

Harus bangkit. Bangkit bersama bicara manis di bibir.
Mesti bertindak. Bertindak bersama jemari yang gah menaip perkataan.
Aku malu. Aku malu dengan-Mu ya Allah! Ighfir dzunuubee…

Sampai bila amalan di takuk lama?
Kematian itu semakin dekat menghampiri.
Mengancam waktu-waktu kehidupan yang tersisa.
Dapatkah diri merasa? Teruk. Sungguh diri ini malu.

Ada yang berkongsi mengatakan apabila berada di rumah, diri semakin lalai. Sewaktu di universiti, adalah juga program keagamaan yang diadakan untuk pengisian rohani. Ada juga ajakan ke majlis ilmu dan ceramah yang dijalankan persatuan tertentu. Dan juga sahabat-sahabat sekeliling yang sentiasa memberi peringatan andai diri terleka. Andai diri jauh mengelamun. Berangan perkara yang sia-sia.

Tetapi terasa semakin jauh dan sepi daripada-Nya kerana sendirian di rumah. Tiada lagi program atau ceramah yang memberi nafas segar terhadap iman yang ada kala naik dan ada kala menurun. Tiada lagi sahabat yang bisa mengetuk jiwa yang lagho. Kerana masing-masing berada di kejauhan.

Apakah puncanya? Mahu selesaikan masalah perlulah melihat dahulu kepada akar punca. Saya cuba meneropong.

Pertama, berkaitan masa. Masa yang ada dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mungkin menonton televisyen sambil bergelak ketawa. Menghabiskan masa di hadapan laptop menonton cerita Korea? Atau terlalu lama menghabiskan masa melayari internet yang kebanyakannya lebih kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sehingga mengabaikan waktu solat? Bacaan dalam solat laju mengalahkan pembaca berita. Juga didirikan pada sisa-sisa waktu. Mungkin kerana ini jiwa terasa kosong. Hari-hari berlalu tanpa ada sebarang perubahan. Lalai.

Tidak salah sesekali mahu memberi hiburan atau ingin merehatkan minda. Tetapi usah seharian dihabiskan hanya untuk perkara begitu. Sehingga tiada masa untuk muhasabah diri. Monolog sepi memikirkan akhirat. Juga sehingga tiada masa memikirkan dunia. Berfikir apa yang ada dengan dunia yang dapat memberi manfaat dan pemberat pada neraca kelak. Berfikir bagaimana mahu menggunakan dunia untuk mendamba keredaan-Nya.
Sungguh, masa itu sering kali dilupakan manusia. Juga sewaktu tubuh cergas dan minda cerdas. Rasulullah telah berpesan, nikmat yang sering dilupakan adalah nikmat kesihatan (assihhah) dan masa lapang (al-faraagh). Seharusnya tersemat dalam hati. Setiap saat itu adalah ibadah.

Mudah tetapi payah. Mudah sahaja sambil berbaring memikirkan kejadian alam ciptaan Allah. Atau juga berfikir hikmah kejadian yang berlaku pada hari yang dijalani. Tetapi payah kerana tidur itu lebih menyenangkan hati. Tidak perlu berfikir banyak. Hanya perlu makan dan tidur. Mudah sahaja sambil berjalan atau melakukan sesuatu, basahkan lidah dengan zikir-zikir. Ataupun selawat. Tetapi payah kerana siulan lagu itu lebih memberi hiburan. Uh, diri hanya pandai bercakap. Mengutuk diri sendiri.


A001
Demi Masa! ( Al-'Asr 103:1 )

A002
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - ( Al-'Asr 103:2 )


A003
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. ( Al-'Asr 103:3 )


 Surah Al-'Asr. Semat ini dalam hati. Bukan sekadar baca. Hayati bersama.

Kedua. Puncanya. Tidak ingat mati. Mereka yang berfikir akan kematian, akan mengalirlah air mata keinsafan. Kerana menyedari betapa hidup ini singkat. Tiada masa untuk berehat. Jalani kehidupan dengan minda sering berfikir tentang ibadah. Bukan hanya memikirkan luluskah peperiksaan atau berjayakah menggapai 4flat. Tetapi juga berfikir bagaimana sewaktu melintasi titian sirat, luluskah? Bukan hanya memikirkan ingin menatap result yang tinggi setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Tetapi juga berfikir apakah amalan di dunia mampu membantu melepasi titian sirat seterusnya ke syurga?

Ketahuilah, setiap apa di dunia ini akan diperhitungkan kembali di akhirat. Akan dihisab kembali. Ustaz Pahrol Mohd Juoi memberi bicara tazkirah. Yang haram diazab, yang halal dihisab. Terkesan di hati saya. Tiada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah. Amalan akan diperhitungkan satu-satu dengan seketat-ketatnya.

Ada kata yang mengatakan. Manusia yang bijak adalah manusia yang merancang untuk mati.
Saat ini hati ingin benar menangis. Mengapa begitu lalai? Mengapa begitu seronok dengan dunia? Pejamlah mata wahai hamba. Ingatilah detik-detik kehidupan yang telah berlalu. Lihatlah yang telah kembali kepada Yang Menciptakan. Tidak terfikirkah bila pula giliran kita? Yang sewaktu ini begitu asyik dengan dunia?

Terlalu seronok mengumpul dosa. Peringatan yang diberi bagai mencurah air ke daun keladi. Masuk telingan kanan. Keluar telinga kiri. Kerana lalainya hati mengingati sebuah kematian. Lalainya hati daripada memikirkan amalan. Yang bisa menolong bermula alam barzakh. Neraca timbangan. Juga untuk melepasi titian siratul mustaqim.

Entah sampai bila harus begini. Kematian itu tidak mengenal usia. Tidak mengenal waktu. Bukankah sering kita melihat?  Yang dijangkakan pergi yang sakit, tetapi yang sihat terlebih dahulu dijemput Ilahi. Bukankah ini yang tertanam di fikiran? Yang tua mungkin pergi dahulu. Sedangkan tiada jaminan yang muda ini bakal hidup lagi pada hari esok.

Menangislah. Semat ini dalam hati.


A007
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! ( Az-Zalzalah 99:7 )


A008
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-Zalzalah 99:8 )

Setiap orang inginkan perubahan. Yang pastinya mahukan kebaikan ke arah yang lebih baik. Saya tidak pasti apakah ada juga manusia yang merancang untuk menjadikan dirinya lebih teruk berbanding hari semalam.


Pernah saya sentuh di sini.(http://syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/2011/04/berubah-mimpi-atau-realiti.html )  Dengan bahasa sinis dan mungkin sedikit kasar.
Mahu melakukan perubahan. Kemahuan itu semestinya perlu ada. Itulah penolak pertama. Seterusnya keazaman yang tinggi. Niat hanya kerana Allah. Ini teramat penting. Kemudian tindakan. Saya kira ramai yang rebah saat tiba di peringkat ketiga. Saya mengutuk diri sendiri.

Keinginan. Keazaman. Tindakan.
Jika ingin berubah, semat dahulu ini dalam hati.
Mari melakukan perubahan!

Mari bersama-sama saya. Jika benar cintakan Allah dan Rasulullah, segeralah ambil sehelai kertas. Atau buku catatan yang biasa digunakan. Kita harus kuat sendiri bukan hanya menunggu ditegur dan diperingatkan selalu. Mesti! Mesti mengamalkan terus-menerus tarbiyah kendiri. Jika anda hanya membaca, mungkin kesannya sementara atau mungkin juga tiada. Bertindaklah sekarang! Ambil walau sehelai kertas. Dan tulis ini. Jika anda benar mengambil, saya yakin anda benar seorang yang benar-benar mahu melakukan perubahan. Bukan hanya pandai bermain bicara.


To-Do-List. How to achieve mardhotillah.


1)  Tilawah (4 helai sehari )
2)  Qiam (1 kali seminggu )
3)  Solat Sunat Rawatib (3 kali sehari – mana-mana waktu)
4)  Puasa ( 1 hari seminggu – pilih Isnin atau Khamis)
5)  Ma’thurat (2 kali sehari – selepas solat Subuh dan Asar)
6)  Baca Surah Al-Mulk sebelum tidur.

Tidak semestinya melakukan semua. Pilih satu sudah cukup. Melainkan anda betul-betul mempunyai keinginan yang kuat ingin berubah dan melakukan kebaikan. Sudah semestinya lagi bagus. Jika tidak mampu, pilih satu dahulu. Atau dua. Atau mengambil separuh-separuh setiap daripada itu. Mengikut kemampuan. Dan seterusnya membuat jadual sendiri. Tandakan jika berjaya melakukan mana-mana amal. Bisa kendiri bukan? Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Mungkin bermula tilawah 2 helai sehari? Qiam satu kali sebulan? Solat sunat rawatib, memilih solat 2 rakaat selepas Solat Isyak? Puasa satu kali sebulan? Ma’thurat hanya dibaca selepas Subuh? Al-Mulk jika benar malas, pasanglah di laptop atau handphone dan dengar serta hayati.

Sungguh, sekarang saya rasa terlalu hina. Terlalu jauh daripada-Nya. Terlalu amat jauh syurga itu!

Add to the list.


1)  Mengambil bahan bacaan yang bermanfaat setiap hari. Walau sehelai kertas tazkirah jika tidak majalah seperti SOLUSI. Baca secara perlahan-lahan. Merenung. Hayati. Dan rasakan dengan hati.

2)  Sentiasa cuba berusaha menghadiri majlis ilmu yang diadakan.

3)  Bergaul dengan sahabat yang soleh dan solehah.

4)  Zikir qauli setiap kali selepas solat. Boleh juga sewaktu berjalan, duduk, baring. Juga sewaktu melakukan kerja.

Contoh: 
Istighfar (Astaghfirullah) 10kali. Subhanallah 10kali. Alhamdulillah 10kali. Allahuakbar 10 kali. Lailahaillallah 10kali. Selawat 10kali. Boleh tambah lagi. Jika mampu, lakukan semua. Jika tidak, pilih satu dan istiqamah. Kreatif dalam bercinta. Mungkin memilih mana-mana selepas selesai solat. Atau ketika sedang melakukan satu-satu pekerjaan.

Saya tambah lagi. Mungkin boleh download Selawat Syifa. 
Anda punya laptop dan telefon bimbit bukan? Manfaatkan sebaiknya.

5)  Jaga waktu. Usah terlalu membiarkan diri terleka. Berfikir yang sia-sia. Yang tiada manfaat buat akhirat.

6)  Sentiasa muhasabah diri. Sentiasa berusaha melakukan ibadah secara bersungguh-sungguh. Ihsan. Jika melakukan ibadah, rasailah seperti kita melihat Allah. Tetapi jika tidak, rasalah, sesungguhnya Dia Maha Melihat.

Yang penting, ada usaha walau sedikit. Dan berusaha untuk istiqamah. Jangan putus asa. Mendekati Allah itu mana bisa mengenal erti penat, jemu dan lelah. Inilah kebahagiaan sebenar.

Semat dalam hati.
Hablun minallah dan hablun minannas.
Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia.

Anda kira yang menulis ini baik sangatkah? Menulis begini bukan bererti sudah baik. Masih terlalu banyak yang mesti dibaiki. Saya terasa perit tatkala teringatkan firman Allah dalam surah As-Saff, ayat 2. Yaa ayyuhallazeena aamanu, lima taquuluuna maa laa taf-‘aluun. Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan!
Hati saya pedih. Terasa perit. Hati menangis lagi. Allahuakbar. Allah, Allah, Allah!

Dalam menulis, peringatan itu juga antara yang terselit dalam hati saya. Tatkala menulis, saya terasa sungguh hina. Pandai menulis tetapi mahu berubah juga liat. Malas. Letih. Alasan. Kononnya. Saya mahu berubah. Sedikit demi sedikit jika itu membuatkan diri istiqamah. Insya-Allah! Kerana amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

Terima kasih sudi membaca. Saya amat berharap yang membaca mendapat manfaat walau pun mungkin sedikit sahaja. Kerana saya tidak punya banyak ilmu untuk dikongsikan. Mesti banyak belajar lagi. Juga terima kasih kerana sudi mengambil kertas dan menyalin. Insya-Allah, kita sama-sama beramal.

Juga terima kasih kepada yang membaca tetapi tidak mengambil kertas. Saya pasti anda sebenarnya terlebih dahulu dan sekarang sedang istiqamah melakukan amalan. Kita sama-sama, Insya-Allah.

Akhir kalam, mari kita sama-sama renungkan firman Allah. Besar makna dan hikmahnya.
Surah Ar-Ra'du, ayat 11. Semat dalam hati.


"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"

Amat saya hargai anda yang membaca menegur kesilapan saya.

Perkongsian buat semua.
Tamparan buat diri sendiri.
Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca.

"Ya Allah…jadikanlah bicaraku….tulisanku….adalah ibadah kepada-Mu… Ya Rahman….ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan….buangkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati dalam diri ini….Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku… Ya Rahim….jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini…..Ameen......"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan