Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Rabu, 26 Disember 2012

Ketika Cinta-NYA Berbisik

Ketika cinta-NYA bertasbih, cinta yang lain tidak berkalih.
Ketika cinta-NYA menghampiri, dia akui kebesaran Ilahi.
Ketika cinta-NYA berbicara, cinta yang lain terdiam tidak mampu berbahasa.
Ketika cinta-NYA menyapa, cinta yang lain tidak mampu menghembus hela.
Ketika cinta-NYA memanggil, cinta yang lain kian menggigil.
Ketika cinta-NYA berbisik, jiwa sang hamba kembali terusik.

Ya Tuhan.
Tidak ada satu pun yang mampu mendustakan cinta-Mu.
Tidak ada satu pun yang mampu menolak lamaran-Mu.
Kerana cinta-Mu begitu tulus.
Kerana cinta-Mu begitu qudus.
Engkau sering memberikan kekuatan saat aku tersungkur di mehnah ujian.
Engkau juga memberikan ketabahan saat aku berdarah dek mehnah yang mendatang.
Engkau tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Mu.

Sungguh. 
Saat aku merasa tidak berdaya,
Engkau mendakap aku dengan penuh cinta.
Saat aku merasa lemah,
Engkau membelaiku dengan penuh belas.

Subhanallah.
Indah berada dalam dakapan dan belaian cinta-Mu Ya Rabbi.
Aku tahu. Aku sering bertanya.
''Mengapa aku yang diberikan ujian seberat ini???! Mengapa aku??!''
Wahai diri hamba Allah yang dicintai-NYA.
Kita adalah hamba-NYA.
"Orang yang diduga dengan hebat adalah orang-orang yang disayangi Allah". 
Sejauh manakah kebenaran kata-kata itu? 
Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. 
Namun yang pasti, siapa yang tidak mahu menjadi di kalangan orang-orang yang disayangi Allah?
''Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu.
Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,
padahal ia amat buruk bagimu.''-(Al-Baqarah;216)

Marilah kita teladani Nabi Muhammad saw apabila ditimpa ujian, baginda sering berkata, 
"Aku hamba Allah, Allah tidak akan mengecewakanku." 
Ini kerana baginda yakin bahawa pada setiap ujian Allah terselit hikmah yang pasti memberi kebaikan, lambat atau cepat, tersurat atau tersirat. Justeru, orang yang 'arifbilllah' (mengenal Allah) seperti Ibnu Ataillah pernah berkata, "Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen­deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang." Maksudnya, seberat mana pun ujian yang Allah timpakan, pasti ada kasih sayang yang mendasari dan mengiringi  ujian tersebut. Namun, akal yang matang berfikir dan hati yang tenang berzikir sahaja dapat merasai hikmah di sebalik setiap mehnah.
Ingat. Kasih sayang Allah mendahului murka-NYA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan