Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Jumaat, 28 Disember 2012

Berniqab Atau Tidak Berniqab?

Bahagia berniqab di negeri Arab

Mana Lebih Utama, Berniqab atau Tidak?

            Memakai niqab atau purdah adalah suatu pakaian  yang baik. Ianya istimewa.
Tidak memakai niqab atau purdah juga suatu pakaian yang baik. Ia juga istimewa.
Selagi kedua-duanya menutup  aurat  dan dipakai dengan rasa taqwa,  pilihan untuk memakai atau tidak memakainya adalah suatu pilihan yang baik. Kedua-dua pilihan ini patut dimuliakan sebagai muslimah.
            Mana yang patut dipilih? Pakai niqab atau tidak?
            Jawapan bagi soalan ini bergantung kepada cabaran fitnah individu, tuntutan budaya, tempat, tuntutan hidup, tuntutan zaman, kemajuan segala bidang kehidupan, tingkat pendidikan wanita yang tinggi dan  merata pada hampir semua wanita, perubahan umum dari diam kepada bergerak, dari duduk rumah kepada berkerja dalam pelbagai bidang, maka hukum boleh berubah sesuai dengan perubahan penyebabnya.
Kadang-kadang memakai niqab menjadi lebih utama dipilih, Kadang-kadang tidak memakai niqab pula menjadi lebih utama dipilih.
Niqab menjadi utama dipilih oleh wanita cantik yang dekat dengan suasana fitnah, niqab itu tidak menyulitkannya dan tidak mengundang cacian serta perlekehan orang terhadapnya. (Khususnya dalam sebuah masyarakat yang memang membudayakan niqab). Tidak berniqab pula menjadi utama dipilih oleh wanita yang menekuni fiqh dakwah pada zaman ini.
Siapa yang berani mendabik dada bahawa dia adalah lebih baik daripada orang lain? Sedangkan kedua-dua pilihan ini mempunyai hujah dan fiqh  keutamannya yang tersendiri.  Sama-samalah menghormati sebuah pilihan. Kedua-duanya istimewa dan patut dimuliakan. Orang yang lebih bertaqwa itu pastinya lebih baik di sisi Allah SWT.

Antara 3 Kelompok

            Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi di dalam bukunya  berjudul Wanita Dalam Fiqih Al-Qaradhawi menulis, ada 3 kelompok besar yang berbicara tentang pakaian wanita iaitu:
1.       Kelompok yang inginkan kebebasan mutlak bagi wanita dalam berpakaian.
2.      Kelompok yang inginkan penutupan mutlak bagi wanita dalam berpakaian termasuk menutup muka dan tapak tangan.
3.      Kelompok pertengahan yang menganggap Islam tidak mewajibkan model pakaian tertentu  atau warna tertentu bagi pakaian wanita.  Adapun model dan warna pakaian serta baju luar yang ada di sejumlah negara merupakan tradisi (adat) yang berlaku di sesuatu negara dan ini tentu berbeza dengan tradisi yang berlaku di negara lain. Apapun, Islam menetapkan sejumlah batasan dan sifat tertentu pada pakaian wanita Muslimah yang mesti dikenakan ketika  keluar rumah. (Mustafa At-Thahan, hal.167).
Bolehnya Menampakkan Wajah

            Boleh atau tidak boleh  menampakkan wajah adalah soal khilaf. Apabila dinamakan khilaf, kedua-dua kelompok mempunyai hujah tersendiri yang wajar dihormati. Bagi meringkaskan perbincangan agar tidak memberatkan pembaca, berikut dinyatakan hujah kelompok yang membolehkan menampakkan wajah yang menjadi pilihan penulis. Pembaca berhak mempunyai pilihan yang berbeza daripada penulis selagi mana pilihan itu berdasarkan hujah.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.”
Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku  pada zaman keemasan umat ini.
Terlalu banyak hujah yang dikemukakan oleh Al-Qaradhawi berkaitan hal ini. Antaranya ialah:

Dalil  1
           
Tafsiran majoriti para sahabat terhadap surah an-Nur ayat 31,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”
Mereka mengecualikan muka dan tapak tangan. Antara mereka yang berpandangan demikan ialah Anas bin Malik, Ibnu Abbas, Aisyah, Said bin Jubair, Atha’,  Qatadah, Musawwir bin Makhramah, Ibnu Juraij dan lain-lain. Imam At-Tabari, Ar-Razi, Baidhawi dan lain-lain menyokong pendapat Ibnu Abbas dan lain-lain.


Dalil 2

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma’ binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma’) dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini.” Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Al-Bani  menilai hadis  ini hasan dalam kitabnya, Hijab al-Mar’ah al-Muslimah,meskipun statusnya mursal dan perawinya dhaif. Ini kerana ada hadis penguat (hadis syahid) dari riwayat Asma’ binti Umais. Riwayat penguat lain ialah realiti yang berlaku pada zaman Nabi dan sahabat, ramai wanita tidak berniqab.

Dalil 3

Pada waktu-waktu tertentu (bukan semua waktu), mengenakan penutup wajahdipandang aneh dan menimbulkan tanda tanya.  Imam Abu Dawud meriwayatkan dari Qais  bin Syimas r.a. berkata, “Seorang wanita (yang dikenal sebagai Ummu Khalad) datang menemui Rasulullah. Dia datang dengan wajah tertutup. Dia bertanya perihal anaknya yang terbunuh. Beberapa orang sahabat berkata kepadanya,
“Saudari datang untuk bertanya dengan wajah tertutup?”
Ummu Khalad berkata,
“Walau anak saya terbunuh, tapi tidak dengan rasa malu saya.”
Jika memang penutup muka pada zaman itu sudah mentradisi lalu apa alasan perawi berkata sesuatu yang menunjukkan mereka hairan dengan penampilan Ummu Khalad. Jawapan Ummu Khalad menunjukkan alasannya menutup wajah adalah kerana rasa malu bukan kerana perintah Allah dan Rasul.
Kalau memang penutup  wajah wajib secara  syariat, tentu  dia tak akan menjawab demikian dan sahabat tidak bertanya demikian, seakan bertanya,
“Kenapa kamu solat?”

Dalil 4

Al-Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Aisyah, Rasulullah melarang wanita dalam ihram mengenakan penutup wajah. (HR Bukhari).
Jika wajah dan tapak tangan memang aurat, kenapa Rasulullah melarang menutupnya? Padahal, apa-apa yang dilarang ketika ihram seperti menggunakan pakaian berjahit,berburu dan memakai wangian pada asalnya boleh. Bagaimana boleh dikatakan yang wajib ketika ihram (membuka wajah), pada asalnya adalah haram pula? 
Ulama sepakat bolehnya wanita membuka wajah ketika solat dan haji. Apakah mungkin syariat membenarkan terbukanya aurat ketika haji dan solat?

Dalil 5

            Perintah kepada lelaki menundukkan pandangan dalam Surah an-Nur, ayat 30 dan dalam banyak hadis. Jika semua wanita menutup wajah, apa maknanya  perintah ini?

Dalil 6

            Perintah Allah dalam surah An-Nur, ayat 31, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya,” tentang menutup dada, bukan menutup wajah. Jika menutup wajah itu wajib,tentu Al-Quran mengatakannya dengan jelas sejelas ayat perintah menutup dada ini.

Dalil 7

            Dalam Surah al-Ahzab, ayat 52, “meskipun kecantikannya menarik hatimu…”. Bagaimana mengetahui kecantikan  seorang wanita jika wajahnya wajib ditutup?

Dalil 8

Satu kenyataan yang turut diakui oleh golongan yang mewajibkan  niqab ialah wanita pada zaman awal Islam tidak seluruhnya menutup  wajah, melainkan hanya beberapa orang sahaja dan pada  waktu-waktu tertentu sahaja.

Apabila Lelaki Memandang Dengan Syahwat

As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya  dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”
Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”
Perintah menundukkan pandangan ditujukan kepada lelaki tersebut. Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak.
Namun, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?
 Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”
            Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja.
Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat  tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.

Membuka Wajah Suatu Keperluan dalam Komunikasi Berkesan

            Wanita dan lelaki harus berkomunikasi  dalam muamalat atau urusan-urusan hidup seperti berjual beli, kesaksian, wakil-mewakilkan dan sebagainya.
            Ulama fikih sependapat wanita hendaklah membuka wajah ketika memberi keterangan di hadapan hakim, sehingga hakim,saksi dan lawan bicara mampu mengenalnya dan anak siapakah dia.

Fiqh Dakwah: Menjaga Dakwah Lebih Utama

            Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan.
            Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita  yang memudahkan  wanita untuk  membentuk keperibadiannya.”
            “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah. Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”

Jangan Bergaduh Soal Niqab

            Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan, “Tidak dibenarkan bagi saudari-saudari yang menutup wajahnya dan menyeru kepada menutup wajah, menyerang wanita muslimah yang berpegang, beramal dan berdakwah dengan pendapat majoriti ulama yang mewajibkan jilbab tanpa penutup wajah.”
            “Seharusnya serangan mereka diarahkan kepada kaum liberalis yang  mengarahkan kaum wanita muslimah berpakaian terbuka ala Barat. Para muslimah itu sendiri telah bersusah payah mempertahankan jilbabnya di lingkungan kerjanya, kampungnya dan rumahnya.”

Pada Kesulitan Ada Kemudahan

            Mewajibkan wanita berniqab pada zaman ini melahirkan banyak kesulitan. Allah memberi keringanan dalam setiap kesulitan. Allah SWT berfirman,”Dia tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Al-Haj: 78).
            Rasulullah bersabda, “Saya diutus dengan kelapangan dan toleransi beragama.” Hingga ulama kita memberi kaedah, kesulitan mendatangkan kemudahan.
            Rasulullah memerintahkan kita mempermudah urusan bukan menyulitkan, memberi berita gembira bukan menakutkan.

Yang berniqab teruskan berniqab. Yang tidak berniqab, jangan rasa berdosa kerana tidak berniqab. Masing-masing ada peranan. Masing-masing mengikut contoh para sahabiah. Masing-masing mengikut sunnah secara manhajnya, dan menutup aurat. Apa yang penting, kedua-duanya saling menghormati, memahami, saling membela, tidak menghukum, tidak saling merendahkan kerana merasa diri lebih baik, tidak berpecah belah dan saling bersatu. Utamakan akhlak, baik sangka dan lapang dada dalam berbincang dan melontarkan pandangan agar keindahan akhlak Islam tersebar mewangi ke segenap alam.

By ; http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2011/07/berniqab-atau-tidak-berniqab.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan