Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.-(Az-Zumar;53)

Sabtu, 27 Oktober 2012

Ingatlah Mereka Dalam Doamu



Sayu hati tatkala mendengar suara takbir Eiduladha bergema di seluruh pelosok semesta alam. Seluruh umat Islam memuji keagungan-NYA. Seluruh umat Islam mensyukuri nikmat-NYA. Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam yang telah memberikan nikmat yang tidak terhingga. Ya Allah, sesungguhnya tatkala diriku menjamu santapan, tiba-tiba tanganku terhenti daripada menyuapkan makanan ke dalam mulutku. Ya Allah, bagaimanakah keadaan saudaraku yang berada di bumi Palestin, Syria, Rohingya, Afrika dan seluruh pelosok dunia yang tidak cukup makan dan berjuang untuk terus hidup? Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui Segala-galanya. Segala aturan adalah di bawah penjagaan-NYA. Saudaraku sekalian, sedarkah diri kita bahawa tatkala kita riang menikmati hidup ini, ada insan yang sedang berjuang untuk terus hidup. Peluru demi peluru menyimbah bumi mereka. Darah dan jasad tidak bernyawa ada di mana-mana. Seakan jasad itu tidak bermakna apa-apa. Ya Allah, wahai saudaraku sekalian. Bersyukurkah kita dengan nikmat kedamaian yang kita kecapi hari ini? Seandainya kita ditakdirkan untuk berperang dan berjuang, apakah kita sudah bersedia? Adakah kita sanggup mengorbankan nyawa kita seperti anak-anak kecil yang sanggup mengorbankan hidup mereka demi syahid-NYA. Maha Suci Allah, semoga sahaja mereka beroleh syahid-NYA. Wahai saudaraku sekalian, tatkala diri kita sibuk mengejar harta dan lain-lain, usahlah dilupa pada mereka yang sedang merana. Sesungguhnya mereka adalah peringatan untuk kita. Janganlah sombong dengan apa yang ada. Seandainya mampu, bantulah mereka. Seandainya tidak mampu, cukuplah menghantar doamu melalui-NYA untuk mereka. Bersyukurlah dengan segala nikmat yang DIA kurniakan padamu. Janganlah sesekali alpa dan leka dari-NYA. 

Ya Allah,Ya Rahman,Ya Rahim,
Seandainya Engkau mengizinkan,
Izinkanlah aku untuk ke sana untuk bersama-sama mereka berjuang demi-Mu,
Izinkanlah aku ke sana untuk membantu mereka Ya Allah.
Sesungguhnya pada waktu ini, tiada apa yang mampu aku lakukan.
Hanya doa yang mampu aku iringkan untuk mereka.
Peliharalah tauhid dan akidah mereka untuk terus berada di jalan-Mu.
Kuatkanlah mereka Ya Rabb.
Izinkanlah aku untuk berjuang demi agama-Mu.
Demi-Mu Ya Allah,
InshaAllah, aku sanggup mati demi agama-Mu.
Jadikanlah aku seorang mujahidah yang tauhid kepada-Mu.
Ameen Ya Rabbal'alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan