Setiap
manusia, pasti melalui suatu masa yang dikenali dengan MUSIBAH atau masa KESULITAN. Kehidupan seseorang manusia tidak terlepas dari kesusahan, kesulitan,
musibah dan sebagainya. Kadang kala, ia menyebabkan seseorang putus-asa dan ada
juga yang sampai sanggup untuk membunuh diri dan sebagainya, hasil dari
kekecewaan yang menimpa mereka dari kesulitan yang dihadapi oleh mereka dalam
kehidupan
Namun, jika musibah dan kesulitan ditafsirkan
dengan tafsiran yang sempurna, ianya tidak akan membuatkan seseorang putus-asa
tetapi sebaliknya ia mampu memberi suatu kekuatan baru kepada seseorang, dalam
menghadapi hari-hari yang mendatang.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Patutkah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami
beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi
sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,
maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang
orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya
tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)
Berdasarkan
ayat-ayat tersebut, didapati bahawa, seseorang yang mengaku beriman, pasti akan
diuji oleh Allah s.w.t., sehingga terbukti samada seseorang itu benar-benar
beriman atau berdusta dalam mengaku beriman.
Dalam
kitab-kitab hadis juga, banyak menukilkan tentang hadis-hadis yang menyebutkan
tentang ujian Allah s.w.t. terhadap para hamba-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Golongan yang
paling kuat diuji dengan bala adalah golongan para Nabi, kemudian golongan yang
mengikuti mereka dan seterusnya".
Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Sesungguhnya,
jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya
mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…"
Jika kita lihat dalam lipatan sejarah, kita dapati
bahawa, Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang paling dikasihi Allah
s.w.t. sendiri, diuji dengan pelbagai ujian, termasuklah dibaling dengan batu,
dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya. Begitu juga dengan para Nabi
yang lain, seperti Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Ayub a.s., dan
selain dari mereka.
Persoalannya, apakah rahsia di sebalik ujian-ujian
Allah s.w.t. terhadap para kekasih-Nya?
Rahsia Umum di
Sebalik Musibah dari Allah s.w.t.
Para sufi dan ahli makrifah telahpun menjelaskan
kepada kita, hakikat sebenar di sebalik ujian-ujian dan musibah yang menimpa
seseorang muslim.
Secara umumnya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan
musibah kepada seseorang kerana tiga sebab, sesuai dengan jenis orang yang
ditimpa musibah tersebut.
Pertama: Andainya Allah s.w.t. menimpakan musibah dan bala
kepada golongan musuh Allah s.w.t., dan golongan yang bersikap sombong dengan
Allah s.w.t., dari kalangan orang-orang kafir dan golongan fasiq, maka ia
merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan kepada
mereka di dunia lagi.
Kedua: Andainya Allah s.w.t. menurunkan musibah kepada
orang-orang mu'min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t., dengan
melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan buat mereka supaya
mereka kembali kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di hadrat Ilahi s.w.t.
dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia
merupakan suatu kenikmatan dalam kesulitan.
Ketiga: Andainya Allah s.w.t. memberi musibah kepada
golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas di kalangan
hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka musibah
tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah
s.w.t., dengan kesabaran mereka.
Ujian dan Musibah
dalam Kaca Mata Sufi
Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan
musibah merupakan suatu "ta'aruf" atau perkenalan dari Allah
s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut,
bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai
bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.
Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:
Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan
yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan,
kesakitan dan sebagianya.
Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan
diri-Nya dengan sifat-sifat jalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya)
di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t.
Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana
hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong.
Dalam kondisi ini, seseorang hamba yang jujur
dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya
kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji
dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah
s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka
setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di
samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..
Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji
dengan musibah, perlu redho dengan setiap suratan dan
ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga
akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah
s.w.t..
Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah
sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah
tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di
samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba
yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.
Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para
hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan,
dan sebagainya.
Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah
s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan
tersebut, dengan sifat-sifat Jamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan
keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut,
bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.
Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula,
hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang
bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran
merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t..
Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari
Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah
sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap
biadab di hadapan Allah s.w.t.
Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah
berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa
yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh
jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu
daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka
sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan
Allah s.w.t.
Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka
Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping
menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.
Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan
manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau
dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di
sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t.,
samada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya
merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah
s.w.t..
Prev: AWASI WAHHABI :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan